
SIBU: Seramai 60,454 pelajar di seluruh Sarawak dikenal pasti untuk menyertai Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP) selama enam bulan bagi meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee (gambar) berkata, program itu melibatkan seramai 5,729 guru di seluruh negeri dan dilaksanakan setiap tahun dari April hingga September.
“SEEP memberi tumpuan kepada pelajar yang memperoleh markah di bawah 40 peratus dalam peperiksaan sekolah. Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk pelaksanaan program ini.
“Objektifnya adalah untuk meningkatkan kedudukan Sarawak dalam keputusan SPM serta menyediakan pelajar luar bandar bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi secara percuma, seterusnya memastikan kesaksamaan pendidikan di seluruh negeri,” katanya ketika mengulas bengkel SEEP yang diadakan di Kuching, semalam.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, beberapa mata pelajaran teras dikenal pasti di bawah program tersebut mengikut tingkatan dan aliran.
Bagi pelajar Tingkatan 3, mata pelajaran yang terlibat adalah Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Sejarah.
Bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5 aliran Sains, mata pelajaran merangkumi Matematik, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia dan Fizik.
Manakala bagi aliran Sastera, subjek yang diberi penekanan adalah Matematik, Sains, Sejarah dan Bahasa Inggeris.
Menurutnya, SEEP merupakan program berasaskan data yang dirangka dengan penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas berdasarkan gred purata pencapaian pelajar.
“Bagi memastikan kejayaan program ini, sokongan padu daripada semua pihak berkepentingan, terutamanya pihak pentadbiran sekolah, amat penting,” tambah beliau.
|