
Awang Tengah (empat kanan).menyampaikan surat hak milik tanah kepada salah seorang penerima semasa majlis tersebut.
SIBU: Usaha Kerajaan Sarawak memperkasakan pemilikan tanah dan pembangunan infrastruktur diteruskan dengan penyerahan 157 surat hak milik kepada 133 penerima serta bayaran pampasan RM6.79 juta kepada 365 penerima yang terlibat dalam tiga projek utama di Bahagian Sibu, hari ini.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini.
Menurut beliau, penyerahan surat hak milik tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang mula diperkenalkan pada tahun 2010 sebagai usaha Kerajaan Sarawak untuk menjamin pemilikan tanah yang sah kepada komuniti Bumiputera.
Katanya, setakat 28 Februari 2025, sebanyak 1.19 juta hektar tanah telah disukat secara perimeter dan daripada jumlah itu, seluas 935,760 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera.
Selain itu, lebih 98,000 lot individu telah berjaya diukur dan lebih 32,000 lot telah diberi surat hak milik tanah.
Majlis turut menyaksikan penyerahan surat hak milik tanah melibatkan dua kawasan di Bahagian Sibu.
Kawasan Igu/Tamin, Selangau mencatatkan 38 lot yang diserahkan kepada 26 penerima manakala kawasan Pasai Siong, Blok 20 dan 21 menyaksikan 119 lot diserahkan kepada 107 penerima.
Kesemua penerima adalah dalam kalangan komuniti Iban dan surat hak milik yang diberikan adalah secara percuma, bebas cukai, tanpa bayaran premium, serta berstatus kekal atau 'perpetuity'.
Dalam pada itu, sebanyak RM6.79 juta pampasan diserahkan kepada 365 pemilik tanah yang terlibat dalam tiga projek pembangunan infrastruktur utama di kawasan Sibu sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk tidak menjejaskan hak rakyat dalam pelaksanaan pembangunan.
“Projek pertama ialah Projek Jalan Akses ke Transmission Line Baleh–Mapai 500kV yang melibatkan pampasan berjumlah RM2,254,749.87, dengan 203 cek diserahkan kepada 103 penerima.
“Projek kedua melibatkan pembinaan jalan ke Rumah Jingga, David Multifarm, Rumah Seli, Rumah Guang dan SK Singat di Sungai Lengan, Sibu, dengan jumlah pampasan sebanyak RM1,101,472.50 kepada 53 penerima melalui 92 cek.
“Projek ketiga pula ialah projek Naik Taraf Loji Rawatan Air Salim (Paip Air Mentah) daripada kapasiti 50MLD kepada 300MLD, dengan jumlah pampasan RM3,435,358.20 kepada 209 penerima melalui 224 cek,£ ujarnya.
Secara keseluruhan, sejumlah 519 cek pampasan telah disampaikan kepada 365 penerima yang terlibat dalam ketiga-tiga projek pembangunan tersebut.
Awang Tengah menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak tidak pernah mengambil tanah rakyat secara percuma dan setiap pengambilan tanah dilakukan berdasarkan penilaian semasa mengikut Kanun Tanah Negeri serta Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada arus pembangunan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang.
|