Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan memanfaatkan bangunan yang dibina supaya tidak terbiar kerana hanya merugikan negara.
Ia susulan laporan media pada Januari lalu mengenai bangunan Mahkamah Persekutuan berstatus warisan di Kuala Lumpur dalam keadaan terbiar sehingga mencacatkan pemandangan.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, pada Disember tahun lalu, dilaporkan kompleks bangunan pejabat kerajaan negeri di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, Perak yang sebelum ini beroperasi bagi pelbagai urusan masyarakat kini terbiar kosong.
Manakala, Kompleks Pasar Awam Batu Feringghi, di sini, yang memulakan operasi pada Ogos 2020 dengan kemudahan lengkap seperti medan selera, dewan serbaguna, gelanggang badminton dan ruang awam, kini turut terbiar.
"Bangunan ini tidak sepatutnya dibiar begitu sahaja kerana ia perlu dibangun semula serta dimanfaat kerana akan memberi gambaran negatif mengenai pengurusan harta negara.
"Kerajaan mestilah berbuat sesuatu bagi membaik pulih bangunan itu kerana jika dibiarkan kosong, mungkin lebih banyak kerosakan berlaku pada strukturnya.
"Apabila berlaku kerosakan maka lebih banyak kos yang diperlukan bagi baik pulih," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohideen berkata, kerajaan boleh membuat penilaian terlebih dahulu bagi melihat sama ada ia sesuai digunakan semula, diroboh atau dibangunkan dengan bangunan baharu.
Misalnya katanya, kuarters kakitangan Jabatan Perikanan Pulau Pinang di Batu Maung yang akan diroboh dan bakal dibina semula tetapi sehingga kini bangunan itu masih terbiar.
"Semua ruang dan bangunan kosong perlu dimanfaat demi kelestarian alam sekitar, penggunaan sumber lebih cekap serta pembangunan komuniti dan masalah ini tidak termasuk bangunan terbiar akibat projek terbengkalai.
"Bangunan terbiar ini nyata merugikan rakyat dalam mendapat kemudahan infrastruktur awam lebih baik dan boleh dimanfaat oleh mereka. Walaupun bilangannya mungkin kecil, tetapi tetap kerugian kepada negara," katanya.