
Firdaus (kiri depan) bertukar MoU dengan Janang (kanan depan) sambil disaksikan Sagah (belakang kanan) di Dewan Jubli, UiTM Kampus Samarahan. -Gambar Mohd Faisal Ahmad
KOTA SAMARAHAN: Kuota bagi jawatan guru khas di Sarawak sudah mencukupi, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan jumlah sebenar guru yang masih aktif berkhidmat di seluruh Sarawak sehingga mendapat data terkini daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
"Jadi kita mempunyai bilangan guru yang sangat tinggi sebenarnya tetapi sudah tentu dari semasa ke semasa ada warga pendidik yang bersara, kerana pelbagai sebab, maka akan berlaku kekosongan," katanya.
Namun katanya, sekiranya terdapat kekosongan maka keutamaan akan diberikan kepada bilangan graduan yang telah tamat pengajian dari Institut Pendidikan Guru (IPG).
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pertandingan Inovasi STEM Kota Samarahan [url=mailto inKS@UiTM]PinKS@UiTM[/url] di UiTM Kampus Samarahan di sini hari ini.
Terdahulu berucap pada majlis itu, beliau mendedahkan bahawa berdasarkan data yang diperoleh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, purata permohonan pelajar Tingkatan 4 dan 5 bagi aliran STEM di peringkat sekolah menengah adalah 50.8 peratus setakat tahun ini.
Ujarnya, jumlah tersebut menunjukkan trend yang positif dalam mengukuhkan pendidikan STEM di negeri ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara UiTM dan Konsortium Bumi Consultants and Services Sdn Bhd.
MoU itu bertujuan mewujudkan asas kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan sumber manusia, sumber asli serta alam sekitar sekali gus memperkasakan pembangunan modal insan.
Pada masa yang sama, Sagah turut mendedahkan data terkini yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), kadar enrolmen semasa pelajar STEM aliran A, B dan C untuk Tingkatan 4 dan 5 di Sarawak adalah pada 50.8 peratus setakat 2025.
“Angka ini mewakili trend positif dalam memperkasakan pendidikan STEM di negeri ini. Bagaimanapun, kita mesti mengakui bahawa ia masih kurang daripada sasaran 60 peratus penyertaan menjelang 2030, seperti yang digariskan dalam PCDS 2030.
“Bagi mencapai matlamat tersebut kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa siri inisiatif berimpak tinggi dan masih banyak kerja keras yang perlu dilakukan. “Saya gembira kerana UiTM mengambil bahagian untuk mewujudkan kesedaran dalam bidang ini,” katanya.
Mulai tahun ini akan diperkenalkan Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP), inisiatif berimpak tinggi dengan peruntukkan RM20 juta pada 2025 dan telah dilancarkan sejak Ogos 2024, menyasarkan pelajar berprestasi rendah di Tingkatan 3 hingga 5 daripada isi rumah berpendapatan per kapita RM1,500 dan ke bawah.
Pada masa yang sama, lebih daripada 1,200 sekolah rendah di seluruh negeri telah dilengkapi dengan komputer Raspberry Pi untuk mendedahkan pelajar kepada pengaturcaraan asas, automasi dan Internet of Things (IoT).
Justeru pertandingan PinKS adalah penyertaan pelajar dari sekolah-sekolah di seluruh Kota Samarahan bersama pelajar UiTM bukan sahaja membantu merapatkan jurang antara sekolah dan universiti, tetapi juga menggalakkan kerjasama merentas institusi dalam memupuk budaya inovasi.
“Projek-projek yang dibentangkan melalui pertandingan ini jelas menggambarkan kreativiti dan daya cipta pelajar.
“Lebih penting lagi, mereka menunjukkan keupayaan pelajar untuk menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan menyelesaikan masalah dunia sebenar dengan cara yang praktikal dan berkesan,” jelasnya.
Hadir sama adalah Pengarah Urusan Kumpulan Konsortium Bumi Consultant and Services Sdn Bhd Dato Janang Bungsu dan Rektor UiTM Cawangan Sarawak Profesor Dr Firdaus Abdullah.
|