
TAKZIAH: Musa mengucapkan salam takziah kepada isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah di Masjid Negara.
KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah adalah seorang negarawan sejati.
Katanya, sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Allahyarham mendedikasikan hidupnya untuk perkhidmatan awam dan pembangunan negara.
"Saya masih ingat semasa saya menjadi Ketua Menteri Sabah ketika itu, beliau mengambil alih kepimpinan negara dan kemudiannya mencapai kemenangan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11.
"Walaupun terdapat beberapa isu dan cabaran semasa pentadbirannya, beliau sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan kebajikan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
DOA: Bacaan doa mengiringi penghormatan terakhir Allahyarham Tun Abdullah.
Musa turut berkesempatan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara Kuala Lumpur.
Menurutnya, Pak Lah adalah seorang pemimpin yang mudah didekati dan berwibawa dalam kepimpinannya, lebih gemar menggunakan pendekatan diplomasi secara senyap daripada perbalahan politik secara terbuka.
"Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya jua kita kembali. Semoga Allah SWT mengurniakan roh Allahyarham Tun tempat yang tertinggi di syurga Firdaus.
"Saya dan isteri merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga Allahyarham Tun atas kehilangan ini. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara," katanya.
Allahyarham yang berusia 85 tahun disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 7.10 malam Isnin.
Perkara itu dimaklumkan oleh menantu Allahyarham Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di laman Instagram miliknya.
Pak Lah sebelum itu dimasukkan ke wad IJN sejak awal pagi Ahad atas masalah kesihatan.
SALAM: Musa sempat bersalaman dengan Khairy selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah.
|