
Sharifah Ainie (empat kiri) merasmikan Karnival Kesihatan di Dewan Takraw, Kampung Bandong, Sibu hari ini.
SIBU: Penganjuran Karnival Kesihatan di Kampung Bandong hari ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat, khususnya mengenai kanser serviks yang merupakan antara 'pembunuh senyap' wanita.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, program memfokuskan wanita berumur 30 hingga 65 tahun itu memberi impak besar kepada penduduk Kampung Bandong dan kawasan sekitarnya melalui pendidikan serta saringan kesihatan percuma.
“Langkah ini bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah memberi kekuatan dan keyakinan diri kepada para wanita untuk lebih cakna tentang kesihatan mereka,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pemanca Sharifah Ainie Alwie ketika merasmikan majlis di Dewan Takraw, Kampung Bandong, di sini hari ini.
Program itu merupakan anjuran bersama Klinik Kesihatan Jalan Oya, Universiti Lincoln, Pusat Khidmat DUN Nangka dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) DUN Nangka.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu, inisiatif sedemikian mampu menggalakkan lebih ramai wanita menjalani ujian pap smear dan saringan HPV, serta menyeru para suami untuk turut memberi sokongan kepada isteri masing-masing dalam menjalani ujian tersebut.
“Saya berharap program ini dapat mencapai objektifnya dan menjadi pemangkin kepada peningkatan kesedaran kesihatan wanita secara menyeluruh,”tambahnya.
Beliau turut menegaskan pendidikan kesihatan dan saringan awal seperti pap smear adalah kunci utama dalam mencegah dan mengesan kanser serviks pada peringkat awal.
“Statistik global menunjukkan setiap dua minit, seorang wanita meninggal dunia akibat kanser serviks. Namun, kanser ini boleh dicegah dan dirawat jika dikesan awal,” jelasnya.
Menurut beliau, kanser serviks merupakan kanser keempat paling kerap berlaku dalam kalangan wanita di seluruh dunia dengan anggaran 660,000 kes baharu dan 350,000 kematian direkodkan pada 2022.
“Di Malaysia, kanser serviks kekal sebagai salah satu penyebab utama morbiditi dan mortaliti wanita. Strategi seperti vaksinasi HPV serta saringan berkala seperti ujian pap smear amat berkesan dalam menangani beban penyakit ini,” ujarnya.
Turut hadir ialah Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun, bersama petugas kesihatan, ahli komuniti dan penduduk setempat yang turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kesihatan yang diadakan.
|