Edited by Vellfire at 12-4-2025 03:43 PM

Bot nelayan yang ditahan untuk siasatan lanjut pada Rabu.
BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 2.5 batu nautika utara perairan Samalaju sekitar pukul 6.30 petang Rabu lalu.
Pengarah Zon Maritim Bintulu Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot nelayan tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 iaitu lesen penguntukan radas telah tamat tempoh yang boleh dikenakan hukuman denda.
Sebelum itu katanya, bot peronda Maritim Malaysia sedang dalam rondaan Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, Ops Tiris 3.0 dan Ops Permai 01/2019 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot nelayan tempatan yang sedang belayar menuju perairan Bintulu.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati bot nelayan tersebut dikendalikan lima kru warganegara Indonesia termasuk nakhoda yang berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, bot nelayan tempatan berserta dokumentasinya kemudian disita dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kru bot nelayan yang diperiksa.
Ujarnya, Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Justeru katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat serta aduan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun insiden kemalangan di laut, boleh menyalurkannya secara terus ke Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau di talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
|