
Rentap menjawab pertanyaan pemberita mengenai keadaan Dewan Suarah Kuching pada sidang media hari ini. -Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan pemeriksaan ke atas bumbung Dewan Suarah Kuching selepas komponen bangunan itu terbang ditiup angin dan jatuh di taman sebuah rumah pada Selasa.
Timbalan Menterinya Dato Gerald Rentap Jabu berkata Dewan Suarah Kuching kini di bawah kuasa MYSED dan akan diletakkan dalam pelan induk pembangunan semula.
"Kami akan meminta ‘orang kita’ melihat struktur bumbung yang lain. Sejak COVID-19, kita menghadapi banyak isu di sini.
“Banyak bangunan tidak diselenggara, beberapa isu seperti usang, diburukkan lagi oleh keadaan cuaca.
“Jadi untuk keselamatan semua pihak, kita akan pastikan pemeriksaan lengkap dilakukan terhadap struktur dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu acara di Pusat Persatuan Lawn Tenis (SLTA) di sini, hari ini.
Komponen bumbung bangunan itu telah jatuh ke dalam taman rumah seorang arkitek-pereka Edric Ong, yang rumahnya terletak berhampiran Dewan Suarah Kuching.
Adik Edric, Edgar berkongsi kejadian itu di Facebook, berkata bernasib baik komponen itu tidak jatuh ke jalan atau tempat letak kereta, yang boleh membahayakan pemandu atau menyebabkan kenderaan rosak.
Edgar juga menggesa pihak berkuasa segera memeriksa bumbung Dewan Suarah Kuching demi keselamatan awam.
Rentap berkata, kejadian malang itu berlaku kerana cuaca buruk.
"Kami akan meminta kakitangan teknikal kementerian, dengan bantuan JKR, untuk melihat apa yang berlaku. Tetapi perlu berhati-hati dengan cuaca. Terdapat perubahan besar, perubahan iklim. Jadi, kami perlu berhati-hati," katanya.
Menurutnya, kini dewan suarah atau dewan awam tidak lagi memainkan peranan asalnya.
"Dahulu, tidak ada hotel besar untuk semua orang. Jadi, ia menjadi tempat penganjuran semua majlis besar bersama para pemimpin termasuk majlis perkahwinan. Tetapi sekarang, terdapat banyak lagi pilihan untuk rakyat.
“Kami sedang melakukan perancangan untuk melihat pembangunan semula dewan suarah khususnya Dewan Suarah Kuching,” katanya.
Rentap juga memberitahu bahawa kementeriannya baru-baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan JKR dan berbincang mengenai pembangunan semula dewan suarah dalam beberapa bulan akan datang.
Menurut laporan berita sebelum ini, Dewan Suarah Kuching dibina pada 1988.
Terkenal kerana menaranya yang berbentuk payung futuristik, mercu tanda ini direka oleh arkitek terkenal Malaysia Hijjas Kasturi.
Dalam ucapan penggulungan menteri semasa mesyuarat Dewan Undangan Negeri November tahun lepas, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kementeriannya telah mula melaksanakan pelan tindakan bertujuan menghidupkan semula bangunan ikonik itu bagi memulihkan ketokohan dan kemegahannya.
|