

Keadaan di tempat kejadian di Jalan Pandan-Sebauh malam Selasa.
BINTULU: Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya terlanggar belakang sebuah lori tanpa muatan yang diparkir di lorong kiri jalan menghala ke pasar Sebauh, malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Nixon Joshua Ali berkata, kemalangan tersebut berlaku pada jam 9 malam di Jalan Pandan-Sebauh.
"Kejadian dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal terbabit dalam perjalanan dari arah rumah Kampung Hulu Sebauh menuju ke pasar Sebauh," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal yang merupakan lelaki tempatan berumur 18 tahun cedera parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Klinik Kesihatan Sebauh.
"Kawasan jalan tersebut merupakan kawasan gelap tanpa lampu jalan," katanya sambil menambah semasa kejadian cuaca hujan dan jalan raya basah. Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
"Sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau ternampak berkenaan kejadian tersebut boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Lydia Allan (Balai Polis Trafik Bintulu) di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu (086-318304)," katanya.
|