
MIRI: Padah menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa, seorang lelaki didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh supaya menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua tahun.
Francis Ama Kudang, 45, dari Lubuk Mulong, Tinjar, Baram telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.30 petang, 9 Disember tahun lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya David Bakit Nuing di hadapan Majistret Ashok Linggam, manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.
|