CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 101|Reply: 0

[Sarawak] JBPM diseru beri perhatian projek mega Sarawak

[Copy link]
Post time 7-4-2025 05:06 PM | Show all posts |Read mode
Kesiapsiagaan JBPM Sarawak amat perlu hadapi cabaran risiko penggunaan tenaga alternatif



Othman (dua kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang pegawai bomba sambil disaksikan Jamri (kiri) dan Tiong pada Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba di Sibu hari ini.

SIBU: Pelbagai projek mega melibatkan ekonomi hidrogen hijau dan aspirasi untuk menjadikan negeri ini sebagai hab tenaga diperbaharui yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak, perlu mendapat perhatian khusus Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kesiapsiagaan JBPM Sarawak amat perlu bagi menghadapi cabaran risiko penggunaan tenaga alternatif itu.

"Kita sedia maklum Kerajaan Sarawak kini komited untuk menjadi pelopor kepada ekonomi hidrogen hijau dan aspirasi untuk menjadikan negeri ini sebagai hab tenaga diperbaharui.

"Pembinaan projek mega seperti stesen bahan api pelbagai atau multifuel station (MFS), Hab Hidrogen (H2) Sarawak, sistem Transit Aliran Autonomi (ART) serta pertumbuhan progresif industri minyak dan gas perlu kepada perhatian serius JBPM.

"Peralihan landskap industri yang semakin progresif ini menuntut kita selaku agensi penguatkuasaan untuk melihat secara lebih holistik kepada pembangunan prasarana ini bagi memastikan pelan tindakan kecemasan dapat dilaksanakan dengan berkesan jika berlaku sebarang insiden kelak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Othman Abdullah bagi mewakilinya untuk menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 dan Sijil Perkhidmatan Terpuji JBPM Negeri Sarawak di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Sarawak Jamri Masran dan penolongnya Tiong Ling Hii.

Dalam perkara lain Nor Hisham menyeru agar JBPM Negeri Sarawak memberi sokongan kepada usaha ‘Inisiatif Satu Bilion Kesiapsiagaan'.

"Semasa saya di Dubai bagi menghadiri INTERSEC 2025 Januari lalu, satu dialog perbincangan meja bulat telah diadakan di mana 34 negara dan 18 organisasi kebombaan termasuk Malaysia telah bersetuju untuk memberi komitmen kepada inisiatif global ini,” katanya.  

Inisiatif kerjasama ini jelasnya, lagi menyasarkan 4.5 juta peserta program latihan berkaitan kebombaan bagi tempoh 2025-2027 termasuk 15,000 Program Pendidikan Komuniti.

"Jadi saya harap JBPM Negeri Sarawak dapat memberikan komitmen penuh bagi menjayakan aspirasi ini," katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Pegawai JBPM Negeri Sarawak kerana telah menunjukkan peningkatan dalam Aspek Kompetensi dan Kecergasan yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam Ujian Kecergasan Bomba (UKB) dengan peratusan lulus 95.37 peratus.

"Tahniah juga diucapkan atas kejayaan pelaksanaan Program Pengurusan Intervensi Berat Badan (Wellness Hub) di mana saya difahamkan daripada 108 pegawai yang terlibat, seramai 103 orang (95.3 peratus) berjaya menurunkan berat badan. Tahniah dan syabas saya ucapkan," katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 33 anggota menerima Pingat Perkhidmatan Bomba diikuti 98 menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 10 menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji.

Turut diraikan ialah 113 pegawai yang telah berkhidmat selama 30 tahun dalam bidang kebombaan dan penyelamatan.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-6-2025 12:45 AM GMT+8 , Processed in 0.040817 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list