Imigresen Kedah gagalkan cubaan palsukan dokumen perjalanan remaja Sri Lanka
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mac 29, 2025 @ 11:13am bhnews@bh.com.my

Remaja perempuan berusia 14 tahun yang juga warga Sri Lanka yang dikesan memalsukan dokumen pengenalan diri. - Foto Imigresen Kedah
SUNGAI PETANI: Jabatan Imigresen Kedah menggagalkan cubaan pemalsuan identiti bagi memohon pasport Malaysia antarabangsa oleh remaja perempuan warga Sri Lanka berusia 14 tahun di Pejabat Imigresen UTC Sungai Petani, di sini, kelmarin.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, kejadian itu disedari pegawainya sekitar jam 8.40 pagi hari berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan oleh pihak Imigresen mendapati remaja perempuan itu gagal berkomunikasi dalam bahasa Malaysia dan hanya fasih dalam bahasa Tamil.
"Keadaan ini menimbulkan keraguan terhadap identiti sebenar remaja itu yang hadir bersama seorang wanita warga tempatan yang mengaku sebagai ibunya.
"Namun selepas merujuk perkara ini kepada penyelia bertugas, wanita yang mengaku sebagai ibu remaja perempuan itu secara tiba-tiba melarikan diri dan meninggalkan dokumen pengenalan diri, iaitu MyKad dan sijil kelahiran yang sudah pun dikemukakan dalam permohonan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Ridzzuan berkata, susulan kejadian itu, pegawai bertugas mengesyaki bahawa remaja perempuan itu bukanlah subjek sebenar seperti yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan.
Katanya, remaja perempuan itu kini berada dalam jagaan pihak jabatan dan menunggu tindakan lanjut oleh Bahagian Penguatkuasa.
"Hasil semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta analisis dokumen pengenalan diri yang ditinggalkan itu, membawa kepada penemuan bahawa dalang utama adalah wanita tempatan itu yang mengaku sebagai ibu remaja berkenaan.
"Tindakan pengesanan turut dilakukan oleh jabatan itu untuk mengesan kedudukan suspek berkenaan.
"Sehubungan itu, satu laporan polis sudah pun dibuat bagi tujuan siasatan lanjut terhadap kes ini," katanya.
Berikutan itu, katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana cubaan menggunakan dokumen pengenalan diri yang tidak sah bagi tujuan permohonan pasport.
Mohd Ridzzuan berkata, pihak JIM Kedah akan terus komited dalam memastikan integriti dokumen perjalanan Malaysia terpelihara dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.
"Sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan segera," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/03/1378361/imigresen-kedah-gagalkan-cubaan-palsukan-dokumen-perjalanan-remaja-sri
|