SAM gesa kerajaan negeri batal cadangan pojek tambakan di perairan
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Mac 29, 2025 @ 1:36pm

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM)', Meenakshi Raman.
GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang supaya membatalkan cadangan projek tambakan tanah di perairan berdekatan dengan tapak pelupusan sampah Jelutong yang sedia ada di Pulau Pinang.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata, laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek berkenaan sudah ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana impak negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan.
Tambahan pula katanya, kerja penambakan yang dicadang akan memberi kesan buruk kepada kawasan perlindungan marin Middle Bank iaitu kaya dengan biodiversiti.
"Cadangan pemulihan tapak pelupusan Jelutong meliputi kawasan seluas 36.42 hektar (90 ekar), manakala projek tambakan tanah dicadangkan meliputi sebanyak 28.33 hektar (70 ekar).
"Kami bersetuju bahawa terdapat keperluan bagi menutup secara selamat tapak pelupusan sampah itu yang dahulunya dikendalikan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
"Terdapat isu utama yang berkaitan dengan tapak pelupusan sampah seperti larut resap, gas pelupusan, bau busuk, penurunan tanah, pergerakan jisim serta risiko kebakaran dan semua ini boleh menjejaskan kesihatan serta kualiti hidup penduduk selain menyumbang kepada pencemaran alam sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Meenakshi berkata, pilihan terbaik adalah menutup tapak pelupusan sampah itu dengan selamat, yang sepatutnya sudah lama dilakukan.
Katanya, penutupan yang selamat perlu memastikan pencegahan bahaya alam sekitar dan keselamatan jangka panjang tapak serta keselamatan awam termasuk penutupan yang betul, pengurusan larut resap, pemantauan gas dan pemantauan pasca penutupan.
"Tiga pilihan sudah dikemukakan dalam EIA iaitu taman rekreasi membabitkan penutupan sepenuhnya tapak pelupusan itu dan memulihkannya sebagai kawasan taman rekreasi.
"Kedua ialah pembangunan semula sepenuhnya tapak pelupusan Jelutong, dianggap sebagai pilihan yang tidak praktikal manakala pilihan ketiga ialah penutupannya serta pemindahan sisa buangan," katanya lagi.
Menurut Meenakshi, keputusan akhir selepas penilaian seperti yang dinyatakan dalam EIA, adalah bagi menggabungkan pilihan pertama dan ketiga, iaitu pembangunan taman rekreasi berserta program pemulihan bahan dan kerja tanah bagi memudahkan pembinaan kawasan pembangunan dalam tapak pelupusan sampah Jelutong.
Bagaimanapun, pilihan itu memerlukan tambahan tanah yang menyebabkan cadangan penambakan bersebelahan tapak pelupusan.
"EIA menyatakan bahawa tapak projek termasuk kawasan tambakan yang dicadangkan terletak di Middle Bank Pulau Pinang dan menyebut bahawa ia mungkin termasuk Middle Bank kerana sempadan sebenarnya masih belum dipastikan.
"Adalah mengejutkan apabila Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilapor dalam media semalam, menyatakan bahawa projek yang dicadangkan tidak akan menceroboh Middle Bank," katanya.
Meenakshi berkata, EIA juga menyatakan bahawa kesan penambakan akan menyebabkan kualiti air di kawasan itu merosot dengan peningkatan kekeruhan, resuspensi bahan cemar dalam air, kehabisan oksigen terlarut, pelepasan nutrien dan bahan cemar lain daripada sedimen serta pembentukan keladak.
Katanya, Middle Bank dijangka menjadi kawasan lamun laut paling terjejas akibat kerja tambakan ini termasuk ekosistemnya yang terdiri daripada padang lamun dan dataran lumpur pasang surut, berfungsi sebagai kawasan asuhan bagi kehidupan marin muda yang menyokong industri perikanan.
"Sebarang pembangunan di kawasan ini atau berdekatan dengannya akan mengancam ekosistem marin dan seterusnya menjejaskan mata pencarian nelayan.
"Selain itu, limpahan air dari tapak pembinaan serta larut resap yang tidak terkawal akan mencemarkan Selat Pulau Pinang, merosakkan perairan marin dan membahayakan hidupan akuatik," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1378406/sam-gesa-kerajaan-negeri-batal-cadangan-pojek-tambakan-di-perairan
|