DAVID bersama anak yatim yang disantuninya. FOTO Ihsan D Devaraj
Jempol: "Saya pun anak yatim selepas kematian ayah kira-kira 19 tahun lalu, jadi faham perasaan mereka yang teringin nak pakai baju raya baharu," kata pencipta kandungan, D Devaraj atau lebih dikenali sebagai David.
David, 32, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi kisahnya yang menarik perhatian warganet selepas membawa anak yatim membeli baju raya, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, David berkata, seramai 11 anak yatim terdiri daripada 10 lelaki dan seorang perempuan dari sebuah pusat jagaan dibawa membeli baju raya di sebuah pusat pakaian pada 19 Mac lalu.
Menurutnya, ia bertujuan berkongsi rezeki dan menggembirakan mereka menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
"Sebelum ini, saya pernah beri sumbangan makanan, dan tahun ini tergerak hati nak hadiahkan baju raya buat anak yatim.
"Saya pilih pusat jagaan itu secara rawak, tak ada siapa yang cadang pun sebab niat saya nak gembirakan anak yatim berkenaan. Raya pun setahun sekali, kebetulan saya pun ada rezeki lebih.
"Walaupun tak beraya bersama keluarga, sekurang-kurangnya mereka (anak yatim) tahu ada orang ingat…diharap mereka akan buat benda yang sama bila dewasa nanti," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut David, dia terharu kerana mendapat maklum balas positif selepas berkongsi video itu.
"Mesej saya cuba sampaikan tunjukkan kepada menonton video itu masih ada perpaduan dan kasih sayang antara kaum walaupun saya orang India dan anak yatim itu Melayu. "Lagipun, sebagai pencipta kandungan, saya kena kongsi perkara bermanfaat. Saya pun memang merancang dan perbanyakkan lagi perkongsian video berkaitan perpaduan," katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik. Di samping aktiviti kebajikan, David juga tidak ketinggalan berpuasa pada tahun ini.
"Saya pernah cuba (berpuasa) sebelum ini, tapi dalam tiga ke empat hari saja, itu pun berpuasa secara bersela atau Interminttent Fasting (IF).
"Tahun ini saya cuba berpuasa penuh dan tak tinggal lagi. Seronok dan paling teruja waktu sahur kerana susah nak bangun tapi dapat buat," katanya yang mendapat sokongan isteri, keluarga dan pengikut untuk terus berbuat kebaikan.
Disiarkan pada: Mac 26, 2025
|