Edited by sfhzuraz at 25-3-2025 02:22 AM
Raja Muda Perlis santuni 100 anak asnaf
WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
24 Mac 2025 01:02pm

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Lailatul Shahreen berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Santunan Mahabbah anjuran Yayasan Kebajikan Perlis dan Puspanita MPKangar pada Ahad.
ARAU - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Santunan Mahabbah anjuran Yayasan Kebajikan Perlis dan Puspanita MPKangar di sini pada Ahad.
Keberangkatan baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke majlis tersebut bagi menyantuni 100 pelajar asnaf terpilih dari sekitar Perlis.
Dalam titahnya, baginda menzahirkan penghargaan atas usaha murni penganjuran majlis yang memperkukuh silaturahim dan semangat berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan Kehadiran 100 pelajar asnaf terpilih pada program itu adalah satu tanda ingatan tentang tanggungjawab kepada semua untuk sentiasa menjaga dan menyayangi mereka.
“Bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini mengajar kita tentang erti kesabaran, keinsafan, dan belas ihsan terhadap sesama insan. Di bulan inilah kita diajar untuk sentiasa berbuat kebaikan, memperbanyakkan sedekah, serta memperkukuhkan silaturahim.
“Oleh itu, majlis pada petang ini bukan sekadar untuk anda berbuka puasa bersama, tetapi juga sebagai wadah untuk saling menyemai nilai kasih sayang dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” titah baginda.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Kesihatan dan Keusahawanan Perlis, Marzita Mansor, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang juga Presiden Kebajikan Yayasan Perlis, Affendi Rajini Kanth dan Pengerusi Puspanita MPKangar, Norhudi’in Danu.
Baginda turut berpesan kepada anak-anak asnaf agar tidak berputus asa dalam mengejar impian, kerana setiap ujian yang diberikan ALLAH merupakan tanda kasih sayang-Nya kepada hamba-Nya.
Syukur Alhamdulillah Negeri Perlis sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan dan pendidikan anak-anak asnaf, agar kalian dapat membina masa depan yang lebih cerah dan berjaya,” titah baginda lagi.
Sementara itu, baginda turut berharap agar MPK terus mempertingkatkan prestasi sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berdaya maju, responsif, dan adaptif terhadap perubahan.
“MPK perlu mengukuhkan integriti melalui pemantauan, penguatkuasaan dan penglibatan masyarakat, selain memastikan budaya kerja yang proaktif serta penambahbaikan berterusan,” titah baginda lagi.
Selain itu, baginda turut menekankan kepentingan pemerkasaan hubungan dan kolaborasi strategik antara MPK dengan pelbagai agensi bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi impak positif kepada komuniti setempat.
https://www.sinarharian.com.my/article/719369/edisi/utara/raja-muda-perlis-santuni-100-anak-asnaf
|