KPDN Pulau Pinang jalankan 85 pemeriksaan berkaitan kegiatan campur beras
Oleh Nur Izzati Mohamad - Mac 24, 2025 @ 2:07pm bhnews@bh.com.my

Jegan memeriksa barangan harga terkawal menggunakan label merah jambu sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa di Pasaraya C-Mart Bandar Tasek Mutiara. - Foto NSTP/Danial Saad
BATU KAWAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menjalankan 85 pemeriksaan berkaitan aduan beras tempatan yang dicampur dalam beras import, setakat ini.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan, berkata pemeriksaan bukan sahaja dijalankan di peringkat pengilang tetapi juga membabitkan pemborong dan peruncit.
Katanya, terdapat sembilan kilang memproses beras di Pulau Pinang dan tujuh daripadanya diperiksa untuk siasatan lanjut.
"Dalam pemeriksaan ini, kesemua sampel beras yang diambil dari kilang yang diperiksa telah dihantar ke Jabatan Kimia (untuk diuji sama ada terdapat campuran beras tempatan dalam beras import).
"Kita masih menunggu keputusan dan ia mengambil masa sedikit kerana terlalu banyak sampel beras dari seluruh negara dihantar ke situ," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Jelajah Mesra dan Pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa, di sebuah pasar raya di Bandar Tasek Mutiara, di sini, hari ini.
Sebanyak 26 jenis barangan termasuk santan akan dikawal di bawah skim itu sepanjang pelaksanaan selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan, bergantung kepada pengumuman tarikh hari raya.
Jegan berkata, pelaksanaan skim pada kali ini adalah bersesuaian bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga.
Beliau berkata, seramai 137 pegawai penguat kuasa dan 62 pegawai pemantau harga ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/03/1376260/kpdn-pulau-pinang-jalankan-85-pemeriksaan-berkaitan-kegiatan-campur-beras
|