
Abdullah merakamkan gambar kenangan bersama Norjihan (enam kanan) dan wakil daripada rakan-rakan strategik pada majlis perasmian Program Suara 34 Pandu Lalu Ramadan Kasih@RTM di pekarangan Auditorium P.Ramlee RTM di Kuching, hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Program Suara 34 Pandu Lalu Ramadan Kasih@RTM yang dianjurkan oleh Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sarawak diharap dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan pedalaman bagi memberi manfaat kepada lebih ramai masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata, program yang telah memasuki edisi kelima sejak 2021 ini merupakan inisiatif yang baik dalam mendekati masyarakat serta memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat.
“Tahniah kepada RTM Sarawak dan rakan-rakan strategik yang menjayakan program ini.
Ia bukan sahaja berperanan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) tetapi juga membantu merapatkan jurang maklumat antara kerajaan dan rakyat.
“Selain itu, program ini memberi peluang untuk kita menyantuni golongan memerlukan dengan memberi sumbangan serta barangan keperluan sempena Ramadan dan Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Justeru, saya harap usaha ini dapat dikekalkan bukan hanya di Kuching tetapi juga diperluaskan ke kawasan pedalaman di seluruh Sarawak agar lebih ramai masyarakat dapat merasai manfaatnya,” katanya.
Abdullah menerima cenderamata daripada Norjihan pada majlis perasmian Program Suara 34 Pandu Lalu Ramadan Kasih@RTM di pekarangan Auditorium P.Ramlee RTM di Kuching, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Suara 34 Pandu Lalu Ramadan Kasih@RTM yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Penyiaran Sarawak Norjihan Yahya di pekarangan Auditorium P.Ramlee RTM di sini, hari ini.
Abdullah berkata, usaha seumpama ini penting bagi membantu memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan sahih terutama dalam menghadapi cabaran penyebaran maklumat palsu di media sosial.
Menurutnya, RTM dan rakan media lain memainkan peranan penting dalam menangkis penyebaran maklumat palsu serta isu-isu yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat, termasuk sentimen perkauman.
"Namun, saya yakin Sarawak sebagai negeri yang majmuk telah lama mengamalkan perpaduan, dan majlis ini membuktikan bagaimana masyarakat pelbagai kaum dan agama dapat bersama-sama memeriahkan acara ini," katanya
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak pihak tampil menyokong dan menjalin kerjasama strategik dengan RTM bagi menjayakan program ini pada masa akan datang.
Untuk rekod, program Suara 34 Pandu Lalu Ramadan Kasih@RTM telah berlangsung selama tiga hari sejak 20 Mac lalu, bermula dengan konvoi agihan bakul rezeki kepada golongan memerlukan.
Hari ini, pelbagai reruai dan tapak jualan turut dibuka dengan penyertaan rakan-rakan strategik seperti Jabatan Pertanian Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak, PETRONAS Sarawak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), AirAsia Berhad, GTR, Ground Team Sarawak, PAWADA, Liansin dan Yayasan Al Bait.
Selain itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Semop turut menyumbang dalam menjayakan Program Gunting Rambut Percuma untuk 100 individu terawal, khususnya bagi mereka yang ingin tampil kemas dan bergaya menjelang Hari Raya.
Abdullah mengagihkan bakul rezeki berupa barang makanan kepada hadirin pada majlis perasmian Program Suara 34 Pandu Lalu Ramadan [backcolor=rgba(0, 0, 0, 0.05)]Kasih@RTM di pekarangan Auditorium P.Ramlee RTM di Kuching, hari ini. - Gambar UKAS
|