PRK DUN Ayer Kuning 'penanda aras' terkini kekuatan gabungan Perpaduan
Oleh Nur Izzati Mohamad - Mac 23, 2025 @ 4:25pm bhnews@bh.com.my

Reezal Merican (tengah) bergambar pada Majlis Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas anjuran Pusat Khidmat ADUN Bertam dan Sekretariat Perpaduan Kepala Batas di Dewan Kompleks Sukan MBSP Bertam. - NSTP/DANIAL SAAD
KEPALA BATAS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan menjadi penentu baharu kepada kekuatan dan semangat kebersamaan antara gabungan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata gabungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah membawa kemenangan dalam PRK DUN Nenggiri dan DUN Mahkota, tahun lalu.
Sehubungan itu, katanya, beliau percaya kestabilan kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad akan membuahkan kemenangan pada PRK Ayer Kuning nanti.
"Umumnya Ayer Kuning ini adalah kawasan yang kita lihat mempunyai kelebihan, tetapi seperti mana selalu, kita tak mahu nak dabik dada.
"Mana-mana PRK kita akan anggap sebagai pilihan raya penting yang kita akan usahakan ia sebagai menjadi penentu baharu kepada kekuatan Perpaduan dan juga kerajaan MADANI yang terbentuk sekarang.
"Kadang-kadang banyak orang pertikai tapi bila ada PRK, ini masa untuk mengesahkannya," katanya ketika ditemui pada Majlis Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di Dewan Kompleks Sukan MBSP Bertam di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata, UMNO Pulau Pinang terutamanya UMNO Bertam akan menggerakkan jentera bagi memberi sokongan dan membantu kempen calon BN yang akan diumumkan pada 7 April nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1375964/prk-dun-ayer-kuning-penanda-aras-terkini-kekuatan-gabungan-perpaduan
|