CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 259|Reply: 0

Cenderung jadi mangsa diskriminasi, ibu bapa disaran hantar anak-anak sindrom Down dalami seni pertahanan diri

[Copy link]
Post time 22-3-2025 08:13 AM | Show all posts |Read mode

MEMPELAJARI seni pertahanan diri penting dalam membina keyakinan diri terutama bagi kanak-kanak dengan keperluan khas seperti sindrom Down.

Menyedari sifat lembut anaknya, Joyce Teoh Lay Bee, 55, tekad melengkapkan anak perempuannya, Sabrina Teoh Weber, 16, yang menghidap sindrom Down, dengan kemahiran mempertahankan diri bagi melindunginya dalam apa jua situasi.

Sabrina mengikuti seni mempertahankan diri choi kwang do (CKD), yang diasaskan oleh pakar Korea Selatan, Choi Kwang-Jo, sejak 2019.

Sesi pembelajaran yang diadakan di pusat latihan dekat Sri Hartamas, Kuala Lumpur itu menekankan pergerakan yang lancar, dengan menggabungkan regangan yoga untuk meningkatkan kelenturan tubuh.


“Dulu, jika seseorang memukul kepalanya, beliau tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas.

"Namun sekarang, beliau lebih yakin dan peka serta bersiap sedia untuk mempertahankan diri.

"Seni mempertahankan diri adalah kemahiran yang berharga kerana kita tidak tahu bila-bila bahaya boleh menghampiri,” katanya.

Sementara itu, seorang pengurus kewangan korporat yang menetap di Kuala Lumpur, Srihari Iyer turut berkongsi pengalaman yang serupa dengan anak perempuannya, Isha Lakshmi Min-Huei Iyer, 11, yang juga menghidap sindrom Down.

Isha Lakshmi memulakan pelajaran CKD pada usia lapan tahun selepas menghadapi cabaran dalam koordinasi dan pengawalan diri.

“Seni mempertahankan diri mengajar Isha Lakshmi untuk bangkit mempertahankan dirinya sendiri.

"Beliau kini belajar bahawa dia tidak perlu bertindak balas atau berputus asa dalam setiap situasi sukar jika mempunyai keyakinan dan kepercayaan terhadap kebolehannya,” ujar lelaki berusia 53 tahun tersebut.

Sindrom Down adalah keadaan genetik disebabkan oleh kromosom tambahan pada kromosom 21, yang mengakibatkan kelewatan perkembangan, kecacatan intelektual dan ciri fizikal tertentu.

Kanak-kanak dengan sindrom Down sering berhadapan risiko penyalahgunaan dan diskriminasi, selain pengasingan dalam aktiviti sosial.


Pentingnya kemahiran bertahan hidup

Srihari berpendapat, seni mempertahankan diri sangat penting bagi kanak-kanak yang didiagnos dengan sindrom Down.

Ini kerana jelasnya, golongan tersebut mempunyai kekuatan otot yang lemah dan ia akan mempengaruhi kemampuan kanak-kanak untuk melakukan pergerakan.

"Situasi ini menyebabkan mereka perlu bekerja lebih keras untuk membina kekuatan fizikal jadi seni mempertahankan diri memberi mereka kesedaran dan kemahiran bertahan hidup," jelasnya.

Sejak memulakan CKD, Isha Lakshmi menunjukkan peningkatan terhadap tahap kekuatan, koordinasi dan tumpuan. Kini beliau telah mencapai tahap tali pinggang emas.

“Dulu, Isha memukul dengan 'pukulan lembut'. Sekarang, dia boleh memukul dengan kuat,” tambah Srihari.

Dalam pada itu, Sabrina juga menunjukkan kemajuan pesat dalam seni mempertahankan diri.

Setelah melalui peringkat putih dan kuning, anak bongsu daripada dua beradik itu kini menduduki tali pinggang hijau dan menyimpan hasrat untuk memperoleh tahap tali pinggang biru.


"Saya suka kelas ini kerana ia menyeronokkan. Saya dapat menendang, memukul dan berjumpa dengan rakan-rakan," kata Sabrina.

Pendidikan inklusif

Jurulatih Sabrina, Harrison Rafferty, 31, menekankan pentingnya pendidikan inklusif dalam seni mempertahankan diri.

Menurutnya, dengan latihan konsisten diikuti bimbingan tepat, kanak-kanak sindrom Down berupaya menguasai kemahiran pertahanan diri.

“Mereka belajar untuk menangkis serangan, meningkatkan refleks dan membina kekuatan yang diperlukan untuk melindungi diri,” kata pemegang tali pinggang hitam tersebut.


Rafferty yang berasal dari Aberdeenshire, Scotland menetap di Malaysia selama 10 tahun.

Ibu beliau, Debz Rafferty yang juga pengamal seni mempertahankan diri dengan lebih 20 tahun pengalaman, mengasaskan sekolah tersebut pada 2012 sebelum Rafferty mengambil alih pada 2016.

Di sekolah berkenaan, pelajar dengan sindrom Down mengikuti pelan pengajaran yang sama dengan pelajar lain, dengan program yang direka untuk fleksibiliti bagi memenuhi keperluan peserta.

Setiap kelas mengikuti pendekatan terstruktur yang memberi peluang kepada semua pelajar untuk berkembang mengikut kemampuan tanpa tekanan.

"Saya percaya proses lebih penting daripada hasil. Anda akan terkejut dengan apa yang boleh dicapai oleh pelajar dengan pendekatan pengajaran yang betul.

"Saya fokus pada strategi memastikan semua orang mencapai matlamat pembelajaran dengan selamat dan menyeronokkan,” tambah Rafferty. — The Star/SHELLA CHANDRAN


Sumber: Majoriti


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-5-2025 01:56 AM GMT+8 , Processed in 0.038566 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list