
(Duduk, dari dua kiri) Stanley, Wee, Wong dan Eddy (kanan) bersama pemimpin masyarakat lain merakamkan kenangan.
SIBU: Pemimpin masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan diingatkan supaya mengetepikan politik kepartian dalam menjalankan tugas sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh menegaskan, politik parti tidak seharusnya dicampuradukkan dengan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan tersebut.
“Kita semua perlu bekerjasama dengan Pegawai Residen Sibu dan Pegawai Daerah, serta wakil rakyat tempatan.
“Saya mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Bawang Assan dan dengan itu, saya merupakan sebahagian daripada kerajaan.
“Oleh itu, saya berharap anda semua dapat bekerjasama dengan saya demi kesejahteraan rakyat di kawasan ini.
“Politik kepartian tidak seharusnya mencampuri urusan perkhidmatan kepada masyarakat. Ini amat penting.
“Kita akan dipandu oleh Pegawai Residen Sibu dan Pegawai Daerah. Saya yakin anda semua tahu tanggungjawab masing-masing,” katanya ketika menyaksikan majlis penyerahan surat pelantikan kepada pemimpin masyarakat di Pejabat Daerah Sibu, hari ini.
Pada majlis itu, Pegawai Daerah Sibu Wee Teck Min menyerahkan surat pelantikan kepada 17 tuai rumah (TR) dan seorang kapitan.
Antara mereka yang dilantik baharu ialah Kapitan Hii Ching Yu serta TR Maramat Gelana, James Sabang, Jalin Eddy dan Peter Dana.
Manakala yang dilantik semula ialah TR Adin Jawa, Anchum Agai, Benson Handai, Chabu Rimao, Helena Buga@Helena Doh, Joseph Jarrau Belikau, Michal Ngipa, Munie Sawang, Nuing Tungau, Sagai@Dampi Munie, Stanley Jelian Entily, Ukar Senin dan Veronica Jabok.
Dalam ucapannya, Wong turut mengingatkan pemimpin masyarakat agar menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, integriti dan ketelusan.
Sementara itu, Wee dalam ucapan ringkasnya berkata, pemimpin masyarakat memainkan peranan penting sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat.
Kapitan Hii, 48, satu-satunya wakil masyarakat Cina daripada 18 pemimpin yang dilantik, berikrar akan memberikan komitmen terbaik dalam perkhidmatannya kepada masyarakat.
Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi Perkhidmatan Komuniti Paradom dan bekerja sebagai kontraktor.
Turut hadir pada majlis itu ialah Temenggung Stanley Geramong, Penghulu Eddy Jemat dan Pengerusi Perkhidmatan Komuniti Paradom Ting Hung Hua.
|