
Juma'ani mengacau bubur pedas sebagai simbolik demonstrasi memasak bubur pedas sempena program tersebut. - Gambar UKAS
KUCHING: Forum Ramadan yang julung kali dianjurkan secara bersama oleh Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di Wisma Sabati hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 250 ahli dari ketiga-tiga pertubuhan tersebut.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), hadir menyerikan program berkenaan ialah Pengerusi SABATI Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang.
Pengerusi MAKSAK (Wanita) Sarawak Datin Amar Baduyah Bujang menekankan kepentingan peranan wanita dalam memastikan kesejahteraan rumah tangga sepanjang bulan Ramadan.
"Forum ini memberi banyak manfaat kepada kaum wanita, sama ada suri rumah mahupun penjawat awam yang masih bekerja.
"Peranan wanita dalam bulan Ramadan amat penting dalam mencorakkan sebuah keluarga yang bahagia dan cemerlang," ujarnya.
Bendahari SABATI Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin pula berkata, program ini merupakan usaha pertama yang menghimpunkan ketiga-tiga organisasi dalam satu platform bagi menganjurkan forum wanita dan Ramadan bertemakan 'Meraih Keberkatan Bersama.'
"Kita menyaksikan penglibatan aktif ahli-ahli dari SABATI, MAKSAK (Wanita), dan BAKAT dengan sokongan yang amat padu.
"Kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang, khususnya dalam menganjurkan aktiviti kebajikan lain," katanya.
Beliau turut memaklumkan, forum itu turut dimeriahkan dengan demonstrasi memasak bubur pedas, salah satu hidangan tradisi masyarakat setempat di bulan Ramadan.
Program itu bukan sahaja menjadi platform bagi perkongsian ilmu dan pengalaman, tetapi juga mengukuhkan ukhuwah di antara ahli ketiga-tiga pertubuhan berkenaan.
|