Edited by Vellfire at 19-3-2025 03:14 PM

Pertemuan terbabit turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto IG
KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima mengadap legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, semalam. Perkembangan itu dikongsikan menerusi akaun rasmi Tunku Mahkota Ismail.
Pertemuan terbabit turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu sebagai antara legenda sukan global untuk dilantik sebagai duta sukan Johor.
Selain legenda badminton negara itu, beberapa atlet bertaraf dunia turut dinamakan Tunku Ismail dalam usaha memacu program pembangunan sukan dan belia di negeri selatan tanah air itu.
Tunku Ismail berkata demikian ketika sesi soal jawab dengan peminat Johor Darul Ta'zim (JDT) di Cafeteria JDT bagi membincangkan isu-isu terkini membabitkan kelab bola sepak berkenaan, minggu lalu.
Selain Chong Wei yang diberi julukan 'Raja Superseries', turut disenaraikan adalah beberapa ikon sukan terkemuka dunia antaranya Sonny Bill Williams, Khabib Nurmagomedov dan Tim Cahill.
Chong Wei menyifatkan pelantikannya sebagai penasihat sukan badminton Johor sekali gus bergelar duta sukan negeri itu oleh Tunku Mahkota Ismail sebagai penghargaan terhadap dirinya.
Mengulas pelantikan itu, Chong Wei berkata ia dilihatnya sebagai peluang luar biasa sambil berjanji akan menjalankan tanggungjawab diberikan sebaik mungkin.
|