|
Edited by Zif.Ahne at 3-4-2025 07:54 PM
Kisah ini berlaku kat adik beradik sepupu aku, Lin. Jadi dalam penceritaan ni, aku akan guna ganti nama ‘saya’, merujuk kepada Lin.
Hai, saya Lin, gadis manis berumur awal 20an, masa kejadian ini, saya sedang menjalani praktikal di kampung halaman, Terengganu. Kalau tak silap, kisah ni berlaku pada musim haji sekitar tahun 2013 atau 2014.
Kenapa saya pasti berlaku pada musim haji? Kerana tahun ni Mak Abah saya dapat panggilan haji, jadi saya, kakak, abang dan saudara mara terdekat termasuk Zif Ahne ni menghantar mereka ke lapangan terbang. Saya ni lima beradik, abang sulung dan adik bongsu tak balik ketika itu atas urusan kerja, Along kerja di Selangor, sementara adik ada exam di kolej sekitar KL. Jadi mereka akan tunggu Mak Abah di KLIA. Tinggal Kak Nah, suami dia, Abang Mi dan anak-anak mereka - Aten dan Amel, masing-masing berumur 4 dan 1 tahun. Lagi seorang, abang kedua saya, Abang Im.
Memandangkan ini kisah seram, jadi adalah eloknya jika saya perkenalkan secara ringkas personaliti abang dan kakak saya ni. Kak Nah dan suaminya cikgu di sekolah berdekatan. Kak Nah bukanlah seorang yang berani sangat dengan hal mistik. Kalau tonton filem seram mesti dia lah yang ‘over-reacting’, tutup muka, terjerit melatah sekian-sekian. Tapi bila ada kes kerasukan di sekolah, Kak Nah lah antara cikgu-cikgu yang akan pegang murid kerasukan, baca ayat-ayat Quran sebagainya. Abang Mi pula saya agak-agak sebagai seorang yang agak berani dalam bab mistik. Seterusnya Abang Im, sekarang bekerja sebagai jurutera di Johor - seorang yang kurang percaya bab mistik ni, sebab sejak dulu lagi, kalau ada benda-benda mistik berlaku, dia akan cuba cari penjelasan saintifik, kenapa lantai kayu rumah kami selalu dengar macam ada bunyi tapak kaki tengah malam - dia jelaskan puncanya dari perubahan suhu dan sebagainya. Saya pula, peminat filem-filem seram, walaupun penakut juga tapi tak lah ‘over-reacting' macam Kak Nah. Pernah juga mengalami pengalaman seram sebelum ni, tapi tidak pernah tengok orang kerasukan depan mata.
Dipendekkan cerita, urusan Mak Abah di lapangan terbang berjalan lancar, menggunakan khidmat swasta bukan TH. Mereka berlepas beberapa minit selepas waktu asar. Setelah itu, kami solat dulu di surau kerana lepas ni Abang Im cakap nak belanja makan sotong celup tepung, yelah, dia balik pun sehari saja, esok dah kena gerak Johor semula.
Selesai solat, kami bergerak dalam satu kereta sahaja, kereta MPV Abang Mi, ketika datang kami tumpang kereta saudara mara, mak abah naik dengan Abang Mi. Kebetulan petang tu kedai makan kebanyakan penuh, jadi kami ambil keputusan beli bungkus saja, makan tepi pantai, lagi seronok, dapat suasana berkelah.
Kami pilih kawasan berdekatan pantai, kira-kira 10 langkah saja dari gigi air. Bersuka ria lah kami makan sambil borak-borak. Saya melayan si Aten ni cari kulit kerang. Sedang kami leka mengutip kulit kerang, tiba-tiba Aten bertanya,
“Kenapa Akak tu menari dalam air?”
“Akak mana satu?” saya menoleh ke arah yang dipandang Aten, tiada orang di situ. Kalau depan sikit, ada lah budak-budak main air, tapi budak-budak lelaki.
“Tu, Akak cantik pakai baju sekolah,” balas Aten sambil menunjuk ke arah pantai yang tiada orang. Saya tundukkan kepala untuk melihat selari hujung jari Aten. Cuma kelihatan tunggul kayu hanyut tersadai di tepi pantai. Tunggul kayu itu tidaklah besar mana, lebih kurang saiz Aten ni saja. Tapi bila melihat tunggul kayu itu bergerak-gerak mengikut alunan ombak, saya dah mula rasa tak sedap hati.
“Dah, biarlah Akak tu main air, jom kita pergi kat Mama, nak malam dah ni,” saya cuba menyedapkan hati. Aten masih melihat ke arah tunggul kayu dan saya cepat-cepat tarik tangan dia serta tutup mata dia dengan tapak tangan saya.
“Kenapa ni Lin?” Kak Nah perasan perubahan raut wajah saya.
Selepas dengar apa yang saya cerita, Kak Nah terus peluk Aten dan tanya, “Akak mana Aten nampak?”
“Tu..” Aten menunjukkan ke arah sama.
“Dah, kemas semua, sekarang nak masuk maghrib, tak elok duduk kat luar ni”, ujar Abang Mi seperti faham situasi yang berlaku.
Masa tengah terburu-buru kemas, Amel menangis terjerit-jerit. Ah sudah, kami semua dah cemas. Selang beberapa saat, Aten pula menangis teresak-esak.
“Im dengan Lin kemas semua cepat, jom kita pergi kat kereta dulu,” arah Abang Mi kepada Kak Nah ringkas sambil mendukung Aten. Saya dan Abang Im mengemas ala kadar saja. Masa ni jantung saya berdegup sangat kencang. Abang Im pula diam membisu.
Dalam kereta, mereka masih lagi menangis, makin teruk. Bila ditanya Aten, dia nak jawab, tapi dalam keadaan teresak-esak, tidak jelas apa butirannya. Kak Nah tiba-tiba teringat cara dia redakan histeria di sekolah - dengan pasang bacaan ayat-ayat ruqyah dalam telefon. Hampir 5 minit juga baru lah dua budak ni terdiam. Dua-duanya seperti keletihan dan tertidur. Amel di pangkuan Kak Nah di depan dan Aten baring di paha saya. Abang Im pula duduk belakang sekali.
“Kita berhenti masjid dulu lah, Maghrib dah masuk ni,” Abang Im bersuara setelah diam dari tadi.
“Betul juga tu, kita berhenti kat masjid depan tu,” balas Abang Mi seperti faham maksud Abang Im.
Sampai di masjid, saya seorang saja tinggal dalam kereta, menjaga Aten dan Amel sebab masa tu saya tengah uzur. Walaupun mereka dah tidur dan bacaan ayat ruqyah masih terpasang, saya tetap rasa seram sejuk. Terasa macam diperhatikan dari luar kereta. Saya hanya pejamkan mata sambil mengusap-usap rambut Aten dan meriba Amel. Tak lama kemudian, tingkap kereta diketuk, Abang Mi dan Abang Im muncul. Ketika itu, saya perasan raut wajah Abang Im macam kesedihan. Saya tanya, ok tak? Dia hanya angguk dan duduk diam di belakang.
Beberapa minit kemudian, Kak Nah datang dan kami terus balik ke rumah. Adakah cerita seram ni tamat disini saja? Tentulah tidak. Kemuncak keseraman cerita ni bermula apabila kami tiba di rumah.
Masuk saja rumah, Kak Nah, Abang Mi dan dua anaknya duduk di sofa ruang tamu, masih lagi memperdengarkan bacaan ruqyah. Abang Im terus ke dapur dan saya hanya berdiri melihat dua anak saudara saya yang masih tidur.
Dummm!!
Kami tergamam bila terdengar bunyi seperti buah kelapa jatuh atas atap zink. Atap garaj kereta memang diperbuat dari zink, tapi mana ada pokok kelapa berdekatan.
Ketika kami saling pandang sesama sendiri, Abang Im muncul dari dapur, memegang cawan. Dia hanya berdiri di situ, sambil matanya tajam melihat kami.
“Kenapa Im?” tanya Kak Nah, sedikit cemas.
Abang Im masih lagi diam, Abang Mi pula bangun dan pergi ke tingkap untuk menjenguk ke arah garaj. Saya pula risau dengan Abang Im, jadi saya pun melangkah ke arahnya. Baru beberapa langkah, tiba-tiba kepala saya rasa pening macam nak pitam.
Bedebik!!
Saya jatuh tertiarap atas lantai. Tidak sedarkan diri. Jadi cerita seterusnya diceritakan oleh Kak Nah;
Ketika Lin jatuh tertiarap, Kak Nah seperti biasa, akan terjerit seperti dalam filem seram sambil memanggil nama Lin. Dia baringkan Amel di atas sofa dan pergi mendapatkan Lin. Menurut Kak Nah, badan Lin memang keras kejung masa tu, tak seperti orang biasa yang pengsan.
“Macam mana ni?” soal Kak Nah kepada suaminya. Dia juga sempat berpaling ke arah Abang Im yang ketika itu terkumat-kamit seperti membaca sesuatu.
Tiba-tiba tangan dan kaki Lin bergerak-gerak, sehingga tertolak Kak Nah yang sedang mencangkung sampai terduduk atas lantai. Kak Nah gambarkan posisi Lin ketika itu seperti orang sedang berenang. Kaki dan tangan menguis-nguis lantai secara perlahan. Kedengaran juga bunyi Lin seperti mendengus. Ketika ini, Abang Im melangkah mendekati Lin sambil terus membacakan sesuatu dan hembus ke arah Lin.
“Jangan kacau aku!” jerit Lin dengan suara agak garau. Muka dia masih melekat di lantai.
“Kau siapa? Kau nak apa dari dia?” jerkah Abang Mi, cuba berinteraksi dengan ‘benda’ yang merasuki Lin.
Abang Im bagi isyarat supaya Abang Mi diam dan jangan berinteraksi dengan ‘benda’ tu. Dia terus terkumat-kamit membaca sesuatu sambil duduk dekat bahagian kepala Lin.
“Jangan kacau aku! Jangan kacau aku!” ulang si Lin.
Ketika ini Kak Nah dah mula menangis ketakutan. Abang Im terus lagi membaca sesuatu sambil memegang kepala Lin. Selepas itu dia tiup ke arah cawan yang dipegang, tuangkan sedikit air ke tapak tangan dan sapu ke muka Lin.
“Jangan berhenti zikir Lailahaillallah,” pesan Abang Im kepada Kak Nah yang sudah berjurai air mata. Lin menjerit-jerit bila mukanya disapu air.
“Arrgggghhh!! Arrggghhhh!!”
Sambil mengarahkan Abang Mi buka pintu rumah, Abang Im terus bangun dan laungkan azan. Jeritan Lin dari kuat menjadi mendayu-dayu dan akhirnya dia terdiam di akhir-akhir kalimah azan.
Lin tersedar. Ya, saya dah tersedar dan hairan melihat Kak Nah, Abang Mi dan Abang Im berada keliling saya, yang sedang cuba bangkit dari meniarap. Seingat saya tadi, saya pitam je...kan?
“Alhamdulillah, selesai dah kot..” ujar Abang Im ringkas memecah kesunyian seketika itu. Kak Nah terus memeluk saya yang masih kehairanan.
“Lin pergi mandi dulu esok kak cerita.”
Saya pun bangun dengan badan yang lemah. Setelah diberikan air oleh Abang Im untuk minum, saya segera mandi dan masuk tidur. Malam tu Kak Nah teman saya tidur, Abang Mi tidur dengan anak-anak dalam bilik lain. Esoknya saya bangun setelah dikejutkan Kak Nah, ketika itu hampir jam 9 pagi.
“Abang Im dah nak balik, pergi salam dia.”
Badan saya rasa lemah dan sakit-sakit sedikit ketika hendak bangun. Basuh muka ala kadar, dan terus ke ruang tamu bersama Kak Nah. Kelihatan Abang Im sedang bermain-main dengan Aten dan Amel. Dua budak ni riang ria seperti tiada apa berlaku semalam.
Selesai bersalaman dan melambai Abang Im pergi, Kak Nah suruh saya makan sandwich ringkas yang terhidang di atas meja dan bersiap untuk pergi ke rumah Ustaz Ali. Ustaz Ali ni cukup dikenali kami sekeluarga kerana dia merupakan sahabat Abah. Selain mengajar agama di surau, Ustaz Ali juga berkebolehan merawat secara syarie. Saya sangka mereka nak merawat Aten dan Amel yang disampuk semalam, rupanya nak merawat saya. Huhu.
Di rumah Ustaz Ali, barulah saya tahu keadaan sebenar bila Abang Mi dan Kak Nah bercerita. Ustaz Ali mulakan rawatan kepada Aten dan Amel. Setelah pasti tiada masalah, rawatan beralih kepada saya. Ustaz menghalakan tangan ke arah saya dan membaca ayat ruqyah secara sederhana kuat.
Ketika itu saya merasa hiba, seperti sedih kehilangan sesuatu. Satu perasaan yang saya tak tahu puncanya kenapa.
“Keluar dari badan budak ni,” ujar Ustaz Ali bila melihat saya begitu. Saya masih dalam keadaan sedar sepanjang rawatan, cuma dalam emosi yang tidak menentu.
Bacaan ruqyah diteruskan dan badan saya yang lemah tadi tiba-tiba menjadi ringan, terasa segar seperti baru bangun tidur.
“Benda yang tak sepatutnya dilihat, dah ditegur, jadi ‘dia’ ikut balik. Nak kacau anak-anak kamu tak dapat, dia serang Lin yang tengah uzur ni,” jelas Ustaz Ali ringkas, memberikan kesimpulan kepada kisah yang kami alami.
“Jadi sekarang benda tu dah pergi ke?” soal Kak Nah.
“Insya Allah, nah ambil air ni, minum segelas pagi, segelas malam sampai habis dan pakai minyak wangi atau minyak attar kasturi, benda-benda ni tak suka bau wangi,” jawab Ustaz Ali sambil menghulurkan sebotol air kepada Kak Nah.
Alhamdulillah, segalanya selesai, tiada lagi rasa tidak sedap badan dan tiada lagi benda-benda mistik berlaku. Oh ya, sedikit sedutan perbualan Abang Mi dan Abang Im semalam, selepas saya masuk tidur (diceritakan oleh Abang Mi);
“Apa yang rasuk Lin tu, Im? Dah macam penyu terdampar je nampak.”
“Biasalah bang, waktu senja benda tu memang berkeliaran, kadang-kadang dia berupa tunggul kayu yang hanyut dalam air.”
“Tapi Aten seorang saja nampak kelibat perempuan kat situ, siap baju sekolah lagi.”
“Mungkin Aten nak cakap benda tu pakai baju kurung putih, tapi dia teringat baju sekolah.”
“Tak sangka kau pandai mengubat orang ye? Apa kau baca masa tu?”
“Tahu sikit-sikit bang, saya zikir je masa tu.”
“Ooo..dah tu, kenapa kau suruh diam jangan cakap dengan benda tu? Bukan biasa orang tanya asal mana, kenapa kacau?”
“Cakap benda ni bukan betul pun, banyak tipu daya, rugi masa je layan. Baik fokus untuk selamatkan Lin.”
Sekian. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|