Keadaan rumah setinggan yang dibina ditebing sungai di jakarta, Indonesia. - Foto AFP
JAKARTA: Program pembinaan tiga juta rumah setiap tahun yang diterajui oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menjadi salah satu agenda utama dalam usaha menangani masalah perumahan di negara itu. Dengan sokongan Turkiye, Singapura, Qatar, Amerika Syarikat (AS) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), program itu dilihat berpotensi memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan rendah dan dijangka membawa pelbagai cabaran dalam pelaksanaannya.
Kerjasama antarabangsa menjadi titik penting dalam program itu, di mana setakat ini UAE memberikan komitmen untuk membina sejuta unit rumah dengan nilai pelaburan antara AS$16 bilion (RM72 bilion) hingga AS$20 bilion (RM90 bilion).
Qatar pula menandatangani perjanjian untuk membina sejuta unit rumah bagi golongan berpendapatan rendah, dengan tambahan komitmen membina empat hingga enam juta unit rumah pada masa depan.
Ketua Pasukan Petugas Perumahan, Hashim Djojohadikusumo, berkata pelaburan itu tertumpu pada pembinaan rumah vertikal di atas tanah milik negara di kawasan bandar.
"Komitmen ini menunjukkan bahawa program terbabit menarik perhatian pelabur luar negara kerana dalam tempoh tiga bulan, pemerintah telah memperoleh komitmen untuk membina tujuh juta unit rumah," katanya.
Kerajaan Qatar, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pemerintah Indonesia pada awal Januari 2025, dijangka disusuli dengan penandatanganan MoU bersama pelabur dari UAE pada 31 Januari.
Di samping itu, pelabur dari Turkiye dan Singapura turut menyatakan komitmen mereka untuk membina masing-masing 50,000 dan 100,000 unit rumah.
Sokongan antarabangsa itu menunjukkan keyakinan terhadap potensi projek terbabit untuk memenuhi permintaan perumahan yang semakin meningkat di Indonesia.
Menurut Menteri Perumahan dan Kawasan Penempatan, Maruarar Sirait, program itu akan menumpukan kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya di bawah lapan juta rupiah (RM2,188) sebulan.
"Kami memberi keutamaan kepada kelas bawah dan menengah yang tinggal di kawasan bandar," katanya.
Untuk menjayakan program itu, pemerintah akan menyediakan tanah, manakala pelabur bertindak sebagai kontraktor dan pembiaya projek.
Pendekatan itu dilihat sebagai langkah strategik untuk menangani kekurangan perumahan, khususnya di kawasan bandar yang sering mengalami masalah kekangan ruang.
Timbalan Menteri Badan Usaha Milik Negara, Kartika Wirjoatmodjo, berkata kerjasama antara pemerintah dengan sektor swasta adalah kunci kejayaan program itu dan beliau menyasarkan pembinaan 800,000 unit rumah pada tahun hadapan melalui kerjasama itu.
Sejak pelancaran program itu pada Oktober 2024, sebanyak 40,000 rumah telah dibina iaitu sebahagian daripada sasaran membina tiga juta rumah setiap tahun, atau 15 juta rumah sepanjang tempoh lima tahun pemerintahan Prabowo. - AGENSI
|