CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9639|Reply: 0

Kepadatan objek di angkasa tingkatkan risiko pelanggaran, serpihan jatuh

[Copy link]
Post time 9-1-2025 09:08 AM | Show all posts |Read mode

Gegelung logam gergasi seberat 500 kilogram dilaporkan jatuh dari langit di perkampungan Mukuku, antara Nairobi dengan Mombasa di Kenya awal tahun ini. - Foto X

GEGELUNG logam gergasi seberat 500 kilogram (kg) dan berdiameter kira-kira 2 meter dilaporkan jatuh dari langit di perkampungan Mukuku, antara Nairobi dengan Mombasa di Kenya awal tahun ini, dipercayai daripada pemisah roket yang dilancarkan ke angkasa lepas.

Meskipun tiada bangunan dilaporkan rosak atau mangsa cedera, kejadian itu memberi impak psikologi besar kepada penduduk setempat yang mendengar dentuman sangat kuat dan menakutkan hingga ada menyangka dunia akan kiamat.

Ini bukan kali pertama, sebaliknya dua kejadian pernah direkodkan di negara ini, pertama pada 31 Julai 2022 apabila satu objek dipercayai serpihan roket Long March 5B (CZ-5B) milik China jatuh di Sarawak.

Ia disusuli 15 Februari tahun lalu di Johor, serpihan objek asing ditemukan di pesisiran pantai Kem Iskandar, Mersing. Objek berukuran 4.03 meter panjang, 2.37 meter lebar dan berat sekitar 100 hingga 150kg juga dipercayai objek angkasa lepas.

Kita bernasib baik kedua-dua kejadian tidak membawa kemudaratan, sama ada kerosakan atau kecederaan dan kematian.

Bagaimanapun, kita perlu ingat kejadian seumpama ini boleh berulang, malah berisiko lebih kerap berlaku berdasarkan aktiviti angkasa lepas sudah mula mendapat tempat di kebanyakan negara. Bilangan objek dan kepadatannya di angkasa lepas berada pada tahap membimbangkan.



United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA) mengeluarkan data setakat 25 Disember 2024, sebanyak 19,988 objek berdaftar berada di angkasa, iaitu peningkatan sebanyak 6,638 objek dalam tempoh dua tahun.

UNOOSA adalah sekretariat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mempromosi kerjasama antarabangsa dalam penggunaan dan penerokaan ruang angkasa secara aman serta dalam pemanfaatan sains dan teknologi ruang angkasa untuk pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan.

Peningkatan objek berdaftar di angkasa

Kepadatan objek ini akan membawa risiko pelanggaran dan menyebabkan pertambahan serpihan objek angkasa. Ini memungkinkan berlaku insiden objek angkasa memasuki ruang udara dan jatuh ke permukaan bumi, selain faktor jumlah pelancaran roket begitu memberangsangkan dari bumi ke angkasa lepas.

Justeru, Malaysia menggubal Akta Lembaga Angkasa Negara 2022 (Akta 834) yang baru sahaja dikuatkuasakan sepenuhnya bulan ini. Ia membabitkan undang-undang pelesenan aktiviti angkasa, permit pelancaran, pendaftaran objek angkasa dan siasatan kemalangan.

Pada peringkat antarabangsa, Malaysia tidak lama lagi akan menjadi ahli kepada dua triti angkasa lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu Triti Angkasa Lepas 1967 dan Konvensyen Pendaftaran 1975.

Januari 9, 2025   sumber

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-5-2025 03:31 PM GMT+8 , Processed in 0.045945 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list