
Moscow: Sebuah dron 'kamikaze' Ukraine membunuh seorang wartawan akhbar Rusia, ketika dia dalam perjalanan di lebuh raya di wilayah timur Ukraine yang diduduki.
Akhbar Rusia, Izvestia melaporkan, ketika kejadian, Alexander Martemyanov yang bekerja secara bebas untuk akhbar itu pulang daripada membuat liputan di bandar Gorlivka yang dikuasai Rusia.
Dia bersama rakan sekerja apabila kereta dinaiki mereka terkena serangan berkenaan, kata agensi berita Rusia, RIA.
Seorang wartawan dari RIA dan empat pekerja media lain cedera dalam serangan itu, tambah agensi itu.
"Kereta yang dinaiki wartawan itu diserang oleh dron kamikaze. Martemyanov meninggal dunia akibat kecederaannya," kata Izvestia.
Sekurang-kurangnya 15 wartawan terbunuh semasa membuat liputan mengenai konflik Ukraine, menurut kumpulan hak akhbar Jawatankuasa Melindungi Wartawan, yang mengatakan ia menyiasat kematian lain.
Seorang lagi wartawan untuk Izvestia, Semyon Eremin terbunuh oleh dron Ukraine pada tahun lalu di wilayah tenggara Zaporizhzhia, kata akhbar itu.
Disiarkan pada: Januari 5, 2025
|