Pasir Mas: "Tiga bulan lalu, gerai belut milik suami pernah dilanggar kereta tetapi dia selamat, namun hari ini dia tinggalkan saya buat selamanya," luah Rohaya Abdullah, 45.
Wanita itu kematian suami, Mohd Arif Said, 44, yang maut selepas gerainya di tepi Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang dekat Kampung Padang Licin, di sini dirempuh kereta Perodua Viva pada 5 petang tadi.
Rohaya berkata, ketika kejadian suaminya sedang berniaga dan dia dimaklumkan arwah dilanggar kereta oleh kakak ipar, malah menyangka ia kemalangan biasa.
Katanya, dia terkejut apabila tiba di lokasi, orang ramai memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM).
"Saya hanya mampu menjerit kesedihan sambil memangku anak bongsu berusia tiga tahun.
"Kali terakhir kami berjumpa kira-kira 1 tengah hari, apabila sama-sama mengangkat bekalan belut untuk dimuatkan ke dalam kereta. Kemudian arwah keluar sendirian untuk berniaga," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HPM.
Rohaya berkata, arwah suaminya tidak menunjukkan sebarang kelakukan pelik, namun dia mengesan lelaki itu seperti 'berat hati' setiap kali diajak membeli peralatan sekolah anak.
"Padahal sebelum ini, dia yang paling bersemangat mahu membeli barangan anak-anak. Dua anak saya yang berusia tujuh dan 10 tahun hanya menangis selepas mengetahui berita kematian bapa mereka.
"Saya reda kehilangan suami yang sangat baik dan akan terus cuba kuatkan semangat demi tiga anak," katanya yang memberitahu jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Sangkut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.