ISLAMABAD – Pakistan mendakwa telah menembak jatuh lima pesawat tentera India, termasuk jet pejuang canggih Rafale, dalam insiden ketegangan rentas sempadan yang berlaku pada Rabu, sekali gus mencetuskan spekulasi penggunaan peluru berpandu tercanggih buatan China.
Walaupun India belum mengesahkan dakwaan tersebut, beberapa laporan yang memetik pegawai tempatan menyatakan terdapat pesawat yang terhempas di wilayah yang dikawal India di Kashmir.
Fokus kini terarah kepada keupayaan jet JF-17 milik Tentera Udara Pakistan (PAF) yang baru-baru ini dilengkapkan dengan peluru berpandu jarak jauh ke udara paling maju dari China, PL-15.
Beberapa hari sebelum insiden berlaku, PAF telah berkongsi rakaman video yang menunjukkan jet JF-17 mereka membawa peluru berpandu PL-15 yang sebelum ini hanya dipasang pada jet generasi kelima China, J-10.
Menurut bekas Komandor Udara dan juruterbang tempur PAF, Khalid Chishti, jika Pakistan benar-benar telah menggunakan peluru berpandu PL-15 dalam pertempuran ini, ia merupakan kali pertama senjata itu digunakan dalam situasi tempur sebenar.
Lebih mengagumkan, gambar yang dikongsi menunjukkan versi PL-15 yang dikatakan hanya dikhaskan untuk kegunaan tentera China, berbeza daripada versi eksport PL-15E yang mempunyai jarak maksimum sekitar 145 kilometer.
“Saya berada di sebuah pangkalan udara Pakistan baru-baru ini untuk rakaman dokumentari. Saya bertanya kepada juruterbang mengenai jarak peluru berpandu itu dan mereka memberitahu ia melebihi 200 kilometer,” kata Chishti.
Jarak itu jauh lebih panjang berbanding peluru berpandu Meteor yang digunakan oleh jet Rafale milik India.
JF-17 Pakistan juga kini dipasang dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) yang membolehkan peluru berpandu seperti PL-15 digunakan dengan lebih efektif dalam misi tempur.
“Manusia hanya mampu melihat beberapa kilometer sahaja, selebihnya diserahkan kepada radar untuk mengesan sasaran. Radar berfungsi sebagai ‘mata’ yang menunjukkan laluan kepada peluru berpandu,” jelas Chishti.
Jika benar dakwaan Pakistan itu, kehilangan jet Rafale adalah satu tamparan hebat kepada kerajaan India pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, yang telah membelanjakan berbilion dolar untuk memperkuatkan armada udara mereka melalui perolehan jet buatan syarikat Dassault Aviation dari Perancis.
“India perlu menilai semula apa yang silap. Ini bukan misi tergesa-gesa. Semua ini dirancang dan dilatih berbulan-bulan dalam waktu aman,” tambah Chishti.
Sekiranya dakwaan Pakistan disahkan secara bebas, ia boleh mengulangi insiden memalukan pada tahun 2019, apabila tentera udara Pakistan menembak jatuh jet MiG-29 India dan menawan juruterbangnya, Abhinandan Varthaman, yang kemudian menjadi tular di media sosial.
Dalam kejadian itu, Pakistan menggunakan jet F-16 dengan peluru berpandu jarak jauh untuk menembak MiG-29 India. India pula mendakwa berjaya menembak jatuh jet Pakistan, namun pegawai Amerika Syarikat kemudiannya mengesahkan semua F-16 dalam inventori Pakistan masih lengkap.
“Kami sendiri jemput pihak Amerika untuk mengira jumlah F-16, dan mereka sahkan semuanya masih ada. Kini, syarikat Rafale pula patut lakukan perkara yang sama dan sahkan jumlah jet India. Secara etika, mereka harus berbuat demikian,” ujar Chishti lagi. -Agensi
SInar Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|