Meskipun bergelar jutawan, penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam tetap mengamalkan kehidupan sederhana dan tidak bermewah-mewah dengan harta yang dimiliki.
Yusof mendedahkan, dia tidak pernah membeli jam tangan berharga lebih RM1,000 apatah lagi berhasrat untuk mengubah suai rumah agam yang dimilikinya.
"Rumah yang ada sekarang ini sudah cukup indah. Saya tidak mahu jadi seperti orang terdekat saya yang berhabis jutaan ringgit untuk ubah suai rumah serta membeli perabot baharu, tapi selepas bisnes jatuh merudum segala aset terpaksa dijual.
"Saya suka menjalani kehidupan secara sederhana saja. Jam tangan saya pun harganya kurang RM1,000. Ada yang juga bernilai RM100.
"Kalau beg tangan pula, isteri saya tidak pernah beli lebih RM3,000. Dia pernah beli beg tangan berharga RM3,000, tapi dia minta izin saya dulu.
"Saya bukan seorang yang kedekut, cuma saya tidak memandang pada jenama mewah walaupun ada kenalan yang sanggup membeli jam tangan bernilai RM25,000," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Yusof, dia lebih seronok menggunakan duit yang dimiliki dengan bersedekah kepada golongan yang memerlukan.
"Saya tidak ada keinginan untuk beli kereta mewah pun sebab rasa membazir.
"Bagi saya, lebih baik kita bersedekah dengan duit yang ada. Saya lebih seronok.
"Kalau ikutkan rumah saya selalu ada yang datang minta dibantu. Saya beri apa yang kita mampu.
"Malah ada selebriti yang saya bantu kerana hidup susah dan diberi bantuan bulanan. Tak perlu lah saya beritahu siapa," katanya.
Terdahulu filem aksi terbaharu terbitan syarikat produksinya, Skop Productions berjudul Blood Brothers: Bara Naga meraih kutipan lebih RM70 juta selepas 25 hari tayangan.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|