Amir Ahnaf tidak menolak melakonkan babak bersentuhan dengan aktres wanita melainkan mereka sudah berumah tangga.
Amir atau Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 25, berkata tindakannya itu dibuat atas dasar hormat kepada status aktres yang sudah bergelar isteri.
“Saya okay sahaja untuk buat babak bersentuhan, selagi pelakon gandingan saya belum berkahwin.
“Kalau dia dah kahwin, saya akan pilih untuk elakkan sentuhan fizikal. Bagi saya itu adalah soal prinsip dan hormat kepada pasangan mereka.
“Kalau pelakon wanita saya tak selesa untuk buat babak bersentuhan, saya akan terus cari cadangan lain. Apa-apa pun, saya akan bincang dengan cara yang baik,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Amir memberitahu dia tidak pernah mendapat sebarang ugutan daripada netizen yang kurang senang melihat dirinya melakonkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita lain.
“Setakat ni, belum lagi dapat ugutan dari peminat sebab babak-babak macam tu.
“Saya percaya semua tu berkait dengan menghormati. Kita kena tahu bagaimana nak imbangkan kehidupan peribadi dan kerjaya sebagai pelakon,” ujarnya.
Ditanya soal keserasian gandingan bersama pelakon Puteri Balqis menerusi drama Keluarga Itu, Amir menjelaskan dia perlu lebih berhati-hati memandangkan aktres tersebut masih berumur 17 tahun.
“Masa berlakon dengan Aqish, saya ambil masa untuk fikir cara terbaik agar kami selesa bekerja. Akhirnya saya ambil pendekatan untuk anggap dia seperti adik sendiri.
“Bila saya layan dia sebagai seorang adik, rasa sayang dan hormat itu datang secara semula jadi. Itu memudahkan saya untuk jayakan babak dengan jujur dan selamat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amir membawakan watak Zuhayr dalam drama Pabila Dia Tersenyum yang disiarkan di platform penstriman Viu pada setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.
Selain Amir, drama tersebut turut menampilkan barisan pelakon popular termasuk Alya Iman, Adam Lee, Iqram Dinzly, Marissa Yasmin, Rusdi Ramli dan Iqram Dinzly.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|