SEBERANG PERAI – Polis menahan lima individu bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan yang mengakibatkan kematian seorang warga emas berusia 63 tahun di Cherok Tokun, di sini petang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung pergaduhan berdekatan sebuah pondok di kawasan terbabit kira-kira pukul 3.22 petang.
“Mangsa bersama lima rakan termasuk suspek berusia 70 tahun sedang bersembang di pondok tersebut. Suspek tiba-tiba datang dari belakang dan terus memukul mangsa dengan sebatang kayu menyebabkan mangsa rebah ke lantai.
“Suspek kemudiannya mengeluarkan sebilah pisau dan menikam mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya di sini, lewat malam tadi.
Mengulas lanjut beliau berkata, pergaduhan tercetus dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang berlarutan sejak tiga hari lalu.
Sumber – KOSMO! ONLINE
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|