![]()
KUALA LUMPUR: Seorang pendakwah bebas, Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas membenarkan saman bekas Ahli Parlimen Rembau itu. Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Rasyiq selaku defendan membayar kos sebanyak RM50,000 terhadap plaintif. Pada 25 Januari 2022, Khairy yang memfailkan saman tersebut selaku plaintif dan atas kapasiti peribadi mendakwa Mohd. Rasyiq telah memfitnahnya berhubung Program Vaksinasi Negara dan vaksin serta dos penggalak yang diterimanya. Pernyataan tuntutan bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa, Mohd. Rasyiq telah memfitnah Khairy melalui empat kenyataan berbaur fitnah, menyiarkan tiga video serta satu gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2021, 6 dan 10 Januari 2022.
Antara kenyataan berbaur fitnah tersebut merujuk kepada vaksinasi Covid-19 yang diterima Khairy dan syarat vaksinasi bagi mereka yang akan mengerjakan umrah. Plaintif mendakwa, kenyataan berbaur fitnah yang dibuat oleh defendan antara lain menggambarkan Khairy berbohong dan menipu orang ramai bahawa beliau telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi. Khairy mendakwa, ekoran penerbitan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah tersebut, beliau telah dibenci oleh orang awam, reputasi dan kredibilitinya terjejas serta menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap dirinya. Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar ganti rugi am, teladan dan teruk yang akan ditaksirkan oleh mahkamah. Turut dimohon ialah perintah agar Mohd. Rasyiq memadamkan kesemua kenyataan, video dan gambar yang berbaur fitnah tersebut daripada laman sosial miliknya dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman diterima serta perintah larangan agar kesemua bahan tersebut tidak disiarkan atau diterbitkan semula oleh Mohd. Rasyiq atau ejennya dalam apa juga bentuk sekalipun. Khairy turut memohon permohonan maaf daripada pendakwah itu dalam bentuk video dan teks yang akan disiarkan di kesemua laman sosial milik Mohd. Rasyiq selama 30 hari yang boleh diakses oleh orang awam. Plaintif turut memohon faedah sebanyak lima peratus ke atas jumlah ganti rugi setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta relif-relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – UTUSAN |
Decaffeinated replied at 18-4-2025 12:30 PM
Siaplah KJ kena chop anti Islam. Bila pendakwah mengomen automatik ia jadi isu Islam tau.
Aku perna ...
ADVERTISEMENT