ENGGAN membiarkan orang ramai terus berteka-teki, pempengaruh Chazynash tampil membuat penjelasan berhubung status rumah tangganya dengan mengesahkan sudah berpisah dengan isterinya.
Menerusi hantaran di Instagram, Chazynash atau nama sebenarnya, Syed Fernarsh Syed Badlishah memaklumkan bahawa dia dan Fatin Morat sah bercerai pada 23 Januari lalu.
"Memandangkan cerita semakin meleret dan menimbulkan pelbagai spekulasi, kami terpaksa bersuara agar tak timbul lagi tanda tanya atau salah faham.
"Sebenarnya, kami berniat untuk mendiamkan perkara ini tanpa sebarang hebahan. Biar hanya yang tahu, tahu.
"Untuk mengelakkan jadi makin melalut, kami ingin maklumkan bahawa kami berpisah secara baik pada 23 Januari 2025," katanya.
Chazynash mengakui dia bersalah di sebalik penceraian berkenaan, namun tidak memperincikannya.
"Kami sepakat bawa haluan masing-masing. Tapi apa-apa pun dalam hal ni saya yang bersalah.
"Walaupun sudah berpisah, hubungan kami masih baik demi anak-anak. Saya masih menjaga mereka seperti biasa, cuma kami tak tinggal sebumbung.
"Kami masih berhubung dan berjumpa jika perlu. Tiada sebarang pertengkaran atau perebutan hak jagaan. Kami urus semuanya dengan baik," katanya.
Susulan itu dia dan Fatin memohon jasa baik semua untuk hentikan penyebaran cerita dan spekulasi yang bukan-bukan.
"Ada yang sampai cakap saya ni ada kena mengena dengan kes CEO Batu. Cukuplah, hormatilah privasi kami.
"Terima kasih dan minta maaf kepada semua yang tidak pernah putus memberi sokongan kepada kami selama ini," katanya.
Sebelum ini, di media sosial netizen sering bertanyakan status rumah tangganya selepas dia tidak lagi memuat naik kandungan di media sosial bersama Fatin. - mStar
|