Pelakon dan pengacara Elfira Loy terharu apabila dijemput oleh jenama kecantikan Wardah Beauty untuk menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Paragon Wardah dan Al Mujadilah Women Center di Doha, Qatar.
Kerjasama global ini menandakan penubuhan pusat pembelajaran perintis dan masjid pertama di rantau berkenaan khusus untuk wanita Muslim.
“Saya benar-benar merasa dihormati kerana berpeluang terbang ke Doha, Qatar, untuk menyaksikan kerjasama global antara Paragon Wardah dan Al Mujadilah.
“Ia sekaligus menghubungkan iman dan kepimpinan global,” kata Elfira.
Dialog Kepimpinan: Suara Wanita Diangkat
Dalam pada itu, Elfira turut menghadiri Dialog Kepimpinan Wanita Global bertema “Leading with Purpose: Women in Faith, Business, and Global Policy”.
Sesi itu menampilkan tokoh terkemuka antaranya Dr. Sohaira Siddiqui, H.E. Retno Marsudi dan Dr. Sari Chairunnisa serta dimoderatorkan oleh duta jenama Wardah, Dewi Sandra.
“Mendengar panel-panel hebat berbincang tentang kepimpinan wanita benar-benar memberi inspirasi dan mencetuskan pemikiran.
“Pandangan mereka membuatkan saya meremang dan memberi saya visi baharu untuk masa depan,” ujar Elfira, yang turut tersentuh dengan pesanan Retno Marsudi mengenai impak pendidikan wanita terhadap keluarga dan masyarakat.
Pada majlis sama, Wardah mengumumkan pelantikan Dr. Sohaira Siddiqui sebagai Ahli Lembaga Paragon Wardah Stewardship for Global Impact.
MoU Wardah–Al Mujadilah & Pembangunan Wanita
Menurut Amalia Sarah Santi, EVP dan Ketua Pegawai Perniagaan Global ParagonCorp, surah Al Mujadilah mengangkat martabat suara wanita.
“Kerjasama ini bakal memfokuskan dua inisiatif utama: pembangunan kapasiti dan ekosistem global yang membolehkan wanita berkembang serta memberi impak.
“Meninggikan suara bukanlah tanda kehilangan rasa malu, tetapi perbuatan keimanan… Kolaborasi ini akan melahirkan program konkrit bagi memperkasakan kepimpinan wanita,” jelas Amalia.
MoU berkenaan telah disaksikan oleh H.E. Retno Marsudi, Dr. Sari Chairunnisa dan delegasi ParagonCorp pada 18 Mei lalu di Al Mujadilah Women Center.
Elfira Loy menyifatkan pengalaman tersebut sebagai momen bersejarah yang membuka mata tentang kekuatan solidariti dan kepimpinan wanita di persada global. - MEDIA HIBURAN
|