CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 69|Reply: 0

[Tempatan] Terusan penyelamat banjir di Perlis

[Copy link]
Post time 18-5-2025 10:02 AM | Show all posts |Read mode




KANGAR: Pastinya masih segar dalam ingatan rakyat negeri ini banjir besar yang melanda Perlis pada tahun 2010 menyaksikan lebih 63,000 penduduk terjejas teruk. Banjir yang disifatkan paling buruk itu turut menenggelamkan hampir 47,000 hektar atau separuh keluasan negeri ini dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta.


Bencana banjir itu menyaksikan kawasan seperti Bintong, Padang Besar, Timah Tasoh, Lubuk Sireh, Kaki Bukit, Wang Kelian, Ladang Perlis Selatan, Guar Nangka dan Arau termasuk seluruh kawasan pekan Kangar terjejas.


Antara punca banjir besar itu ialah disebabkan ketiadaan saluran khusus untuk mengalir keluar air daripada empa­ngan terus ke laut.

Bagaimanapun, selepas pe­laksanaan projek Lencongan Banjir Barat (LBB) Timah Tasoh yang mula dibina pada 2012 dan siap sepenuhnya pada 2020 itu, Perlis sudah tidak lagi terlibat dengan banjir besar.


Projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bernilai lebih RM300 juta sepanjang 22.8 ki­lometer dengan air menghijau dan bersih menghubungkan empangan Timah Tasoh, Padang Besar terus sehingga ke Kuala Perlis itu sangat memberi impak kepada negeri ini.


Ia juga merupakan tebatan banjir pertama di Malaysia yang mengalirkan limpahan air dari empangan ke terusan yang mengalir terus ke laut di Kuala Perlis di sini.


Antara komponen utama terusan berkenaan adalah sebuah terowong sepanjang 765 meter iaitu dari terusan Kampung Wai sehingga Kampung Tebing Tinggi, Bintong yang pembinaannya menembusi banjaran batu kapur berusia lebih 500 juta tahun di Banjaran Nakawan di sini.


Terowong air terpanjang di Malaysia ini menggunakan teknik korek dan letup, pembinaan terowong yang menggunakan kepakaran sebuah syarikat kejuruteraan dari China itu dikatakan berhadapan dengan pelbagai cabaran pada masa itu, antaranya pembentukan banyak kaviti bawah tanah ekoran struktur banjaran terdiri dari batu kapur.


Pembinaan terowong tersebut juga dianggap cukup unik kerana kerja-kerja korekan dimulakan di bahagian laluan air keluar iaitu di Kampung Wai dan bukan di laluan air masuk di Tebing Tinggi. Ini disebabkan kawasan Tebing Tinggi berdekatan de­ngan Sungai Korok dan sekiranya berlaku banjir, air akan melimpah masuk ke kawasan tapak lokasi.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, pembinaan terowong tersebut unik kerana ditebuk hanya satu laluan berbanding terowong yang dibina di seluruh dunia di mana laluan ditebuk dari kedua-dua arah dan bertemu di bahagian tengah terowong.


Ia menjadi terowong yang tercantik kerana terletak da­lam banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia yang me­ngunjur sehingga selatan Thailand dan be­rusia lebih 500 juta tahun.


TIDAK BERDEPAN BANJIR

Seorang penduduk di Bintong, Yusri Yassin,50, berkata, sebelum pembinaan terusan berkenaan, Perlis kerap dilanda banjir terutama pada hujung tahun dan rumahnya antara yang sering kali terjejas pada masa itu.


Katanya, dia masih ingat ketika banjir besar melanda negeri ini pada 2005 dan 2010 yang menyaksikan bukan sahaja kawasan kampung sekitar Bintong dinaiki air, malah ia turut melimpah sehingga pekan Kangar.


Ujarnya, selepas siapnya te­rusan banjir tersebut, Perlis sudah lama tidak dilanda banjir besar meskipun ketika hujan lebat.


“Malah, ketika hujan lebat tahun lalu yang menyaksikan negeri-negeri lain dilanda banjir, Perlis menjadi negeri yang terselamat daripada bencana tersebut.


“Hujan lebat itu hanya me­nyaksikan kawasan rendah di sesetengah kawasan kampung sahaja dinaiki air, itu pun di­sebabkan faktor taburan hujan yang tinggi,” katanya.


ALA GRAND CANYON

Terusan ini membawa pe­ngunjung seolah-olah seperti berada di Grand Canyon, Arizona, AS dengan pemanda­ngan cukup memukau selain keindahan bukit batu kapur berusia lebih 500 juta tahun serta airnya yang kehijauan.


Ia turut menjadi tumpuan aktiviti air seperti berkayak menelusuri terowong.


Penduduk, Sariff Man, 65, ber­kata, pengunjung datang ber­gambar kerana keindahan suasana di kawasan tersebut cantik khususnya sewaktu matahari terbenam.


Sejak menjadi lokasi tarikan, ia turut membuka peluang pendapatan buat penduduk setempat di kampung berkenaan.


Pengunjung, Anuar Ahmad Khalid,40, berkata, aktiviti ka­yak menelusuri terusan berkenaan termasuk melalui sebuah terowong sepanjang 765 meter, menjadi antara tarikan di situ.


“Sepanjang terusan kita me­nikmati pemandangan cu­kup indah dan kiri serta kanan terusan pula ialah bukit batu kapur berusia 500 juta tahun. Siapa sangka, Perlis mempu­nyai tempat seperti ini,” katanya. – UTUSAN



This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-5-2025 03:08 PM GMT+8 , Processed in 0.037889 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list