Puchong: Tiga bulan selepas menggalas status isteri, Siti Saleha mengakui dia dan suami, Joshua Fitton masih dalam fasa bulan madu.
Hari-hari yang dilalui, kata Siti Saleha cukup membahagiakan dan dia bersyukur dipertemukan dengan jejaka budiman seperti Joshua.
"Sepanjang tempoh tiga bulan kami menjadi suami isteri, perasaan sangat menyeronokkan. Kami asyik 'honeymoon' sahaja. Rasa seperti sudah lama berkahwin.
"Mungkin sebab kami sudah lama kenal. Dia adalah kekasih, suami dan kawan baik. Dia sangat tenang dan sering buat saya gembira," katanya ditemui pada majlis tayangan drama Dia Imamku di sini, baru-baru ini.
Biarpun berkahwin dengan pereka fesyen, namun, menurut adik kepada penyanyi Sam Bunkface ini, Joshua tidak pernah mengawal penampilannya, apatah lagi mengkritik gaya ketika muncul di tempat awam.
"Berkahwin dengan pereka fesyen sangat senang. Baju raya tak payah fikir, tapi dia tidak pernah kawal gaya pemakaian saya. Sebaliknya, saya yang akan bertanya sama ada sesuai atau tidak.
"Mungkin 10 tahun lalu dia lebih mementingkan gaya, tetapi semakin meningkat usia, soal gaya bukan lagi menjadi keutamaan. Suami juga tidak pernah persoalkan gaya saya. Dia mahu saya jadi diri sendiri.
"Pakaian harian dia sama saja, melainkan kalau ada acara rasmi atau permaidani merah, barulah dia pakai sut dan tampak kacak. Sekarang penampilannya lebih santai dan itulah yang saya inginkan," katanya.
Berkongsi lanjut prinsip yang diamalkan dalam menjaga keharmonian rumah tangga, Siti Saleha atau nama penuh Siti Saleha Mohd Baharum, 35, berkata, dalam hubungan suami isteri, kepercayaan adalah perkara asas yang harus dititikberatkan.
"Apabila berjauhan, kami bukanlah jenis yang suka hendak buat panggilan video. Saya tahu ada ramai pasangan di luar sana berbuat demikian.
"Kalau buat pun, kami hanya bertanya khabar dan sembang perkara penting saja. Rasa macam kekok pula hendak buat panggilan video. Mungkin kepercayaan sudah ada, jadi, kami tidak ada masalah mengenainya," kata pelakon berdarah campuran Inggeris-Melayu itu.
Mengenai zuriat, pemenang trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada edisi 27, 33 dan 34 itu mengakui tidak pernah merancang dan terima sahaja rezeki dikurniakan Tuhan.
"Kalau tuhan beri rezeki cepat, kami terima sahaja. Suami memang mahukan anak. Saya katakan padanya semua itu bergantung kepada rezeki yang Allah SWT hendak beri.
"Kami memang mahukan anak. Usia saya pun sudah 35 tahun. Jadi, memang tidak merancang," katanya.
Dalam pada itu, pemenang trofi Bintang Asia Terbaik - Malaysia, Anugerah Drama Antarabangsa Seoul di Seoul, Korea Selatan, tahun lalu mengakui mereka masih belum terkesan dengan soalan berkisar cahaya mata.
"Buat masa ini, saya belum rasa terbeban dengan soalan berkaitan anak. Saya pun baru tiga bulan berkahwin dan masih dalam fasa bulan madu.
"Tidak ada terasa hati jika ada yang bertanya mengenai zuriat. Kalau Allah hendak perkara itu terjadi, ia pasti terjadi. Doakan semoga kami segera dikurniakan cahaya mata," katanya.
Siti Saleha dan Joshua diijabkabulkan dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada 15 Februari lalu, iaitu selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan.
Sebelum ini, bintang drama rantaian popular 7 Hari Mencintaiku itu mendirikan rumah tangga dengan pegawai kerajaan, Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017, namun berpisah pada 2022. - HARIAN METRO
|