Kren tapak pembinaan tergelincir, pemandu tercedera
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
16 Mei 2025 02:13pm

Sebuah kren di tapak pembinaan tergelincir sebelum terbalik dan melintangi jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas pada pagi Jumaat.
BAYAN LEPAS – Sebuah kren di tapak pembinaan tergelincir sebelum terbalik dan melintangi jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas, dalam kejadian yang berlaku pagi Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.10 pagi dan hanya melibatkan pemandu kren yang mengalami kecederaan.
Menurutnya, pemandu yang cedera itu telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.10 pagi dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Kemalangan melibatkan sebuah jentera kren yang dipercayai tergelincir dari kawasan tapak pembinaan sebelum terbalik dan menghalang laluan utama. Kejadian turut menyebabkan aliran trafik terganggu di kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, tiada mangsa lain terlibat dan tiada kenderaan awam yang terkesan. Kerja-kerja mengalihkan kren dilakukan dengan bantuan dua buah kren milik swasta,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang risiko kebakaran atau kemalangan susulan.
"Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Abdul Manap Kadir dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, melibatkan lapan anggota serta dua jentera.
"Operasi masih dijalankan dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa," ujarnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/728806/berita/semasa/kren-tapak-pembinaan-tergelincir-pemandu-tercedera
|