TIDAK pernah terfikir berpeluang merakamkan lagu, pelakon dan penyanyi Fattah Amin mengakui pujian rakan mendorongnya menceburi arena nyanyian.
Fattah atau nama sebenarnya Abd. Fattah Mohd. Amin, 34, berkata, pada awalnya menyanyi hanya hobi yang dilakukan pusat karaoke sebelum dilamar sebuah syarikat rakaman.
“la bermula dari bilik karaoke. Saya bukannya belajar menyanyi dari kecil atau bercita-cita nak jadi penyanyi.
Semua ini hobi. Kawan-kawan merupakan permulaannya. Kawan kata suara saya okey, jadi saya pergilah ‘jamming’.
“Tak tahulah mereka nak bodek atau apa,” katanya ketika diundang ke sesi audio siar Sembang Selebriti, baru-baru ini.
Rakaman video temu bual yang tular dalam laman sosial itu dikendalikan dua penyampai radio Sinar, Dina Nazir dan Falyq Hikyle.
Menurut pelakon filem Kulit Wayang itu, bermula detik tersebut dia tampil bersama sebuah lagu berjudul Wanita Terakhir.
“Daripada situlah ada syarikat rakaman yang datang jumpa dan rezeki saya merakamkan lagu Wanita Terakhir.
Saya rasa macam betul ke aku ni boleh menyanyi. Tapi rezeki saya lagu tersebut orang suka.
“Masa tu fokus saya bukanlah sebagai penyanyi tetapi lebih kepada lakonan,” ujarnya.
Pada wawancara sama, Fattah turut berkongsi pengalaman bekerja ketika zaman remaja sebelum menyertai pertandingan pencarian model.
Katanya, demi mendapatkan wang poket dia pernah melakukan pelbagai kerja termasuk sebagai jurutektik komputer dan menolong bapa saudaranya berniaga baju di pasar malam.
“Keluarga saya bukan orang senang, jadi saya buat kerja macam-macam. Masa di universiti pula saya buat peragaan.
Kemudian baru saya sertai Hero Remaja. Masa itu saya peserta ‘underdog’, bukan Top 3 pun. Tapi alhamdulillah rezeki saya jadi juara. Mungkin markah saya lebih pada jawapan ketika sesi soal jawab.
“Selepas itu baru saya berlakon, terus pegang watak utama dalam sebuah drama sebelum muncul dalam Suri Hati Mr. Pilot,” ujarnya.
Pengalaman sejak terbabit dalam dunia seni bermula pada 2011 dikupas satu persatu menerusi audio siar terbabit. – HIBGLAM
|