Kota Bharu: Polis Kelantan mengesahkan sudah menerima maklumat mengenai beberapa pempengaruh dan pengasas kosmetik tempatan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti berkaitan dadah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, bagaimanapun berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut memandangkan siasatan masih dijalankan.
Sebaliknya, beliau menegaskan sebarang pendedahan hanya akan dibuat selepas kes ini disahkan dan bukti mencukupi dikumpulkan.
Sebagai Ketua Polis negeri, katanya beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan tanpa fakta yang kukuh.
"Dalam video saya yang lalu di akaun TikTok saya, saya sudah memberi amaran awal kepada golongan ini supaya tidak terbabit dalam aktiviti berkaitan dadah, kerana pihak polis sedang memantau mereka dengan rapat.
"Saya juga menyatakan polis Kelantan tidak akan berkompromi dengan mereka yang terbabit dalam aktiviti sedemikian.
"Ini peringatan kepada mereka yang mungkin terbabit, kerana kami sudah menerima maklumat yang menunjukkan ada kaitan (pempengaruh dan pengasas kosmetik dengan aktiviti berkaitan dadah)," katanya.
Sebelum ini, polis Kelantan mendedahkan ramai pengasas produk dan pempengaruh di negeri ini disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
Mohd Yusoff dilaporkan berkata ia berdasarkan beberapa tangkapan dilakukan sebelum ini, dengan kebanyakan pengasas produk dan pempengaruh dipercayai menggunakan modus operandi sama iaitu berselindung di sebalik perniagaan untuk menyembunyikan kegiatan jenayah.
Dalam pada itu, Mohd Yusof menegaskan beliau mengatakan tidak semua pempengaruh atau pengasas kosmetik di Kelantan terbabit dalam aktiviti dadah.
Justeru, katanya golongan berkenaan yang tidak terbabit dalam sebarang aktiviti haram tidak perlu risau, sebaliknya amaran diberikan kepada yang terbabit supaya berwaspada.
"Kepada mereka yang terlibat, saya ingin beri amaran tunggu sahaja tindakan kami," katanya. - HARIAN METRO
|