|
SHAH ALAM – Seorang orang kurang upaya (OKU) lembam didakwa membunuh seorang pengemis dalam prosiding tertutup di Hospital Shah Alam di sini, hari ini.
Tertuduh,Mohamad Fauzan Adib bin Abd. Aziz, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mislia Mohd. Aris.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, prosiding itu dijalankan secara tertutup di wad pemerhatian HSA kira-kira pukul 10:22 pagi.
Ini selepas tertuduh masih menerima rawatan akibat penyakit sawan dialaminya.
“Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun jika disabitkan bersalah.
“Sebutan semula pada 9 Jun depan di Mahkamah Majistret Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! pada 26 Mei lalu melaporkan angkara berebut tempat meminta sedekah, seorang pengemis tergamak menikam pengemis lain hingga mati di hadapan sebuah bank di Seksyen 18 di sini pada 24 April lalu.
Pertelingkahan antara dua pengemis terbabit telah berlaku sehari sebelum kejadian dan berlarutan sehingga membawa kepada pertumpahan darah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun yang sudah berkahwin mati di tempat kejadian akibat ditikam bertubi-tubi oleh suspek yang berusia 28 tahun.
Mangsa tidak memiliki kad OKU, namun kaki kanannya patah akibat kemalangan jalan raya tiga tahun lalu.
Sumber: Kosmo
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|