TERLETAK di Felda Jengka 25, Jengka, Pahang, Gunung Senyum bukan saja kaya dengan pelbagai tumbuhan yang tinggi nilai perubatan, bahkan gunung ini juga ‘kaya’ dengan pelbagai misteri dan mitos.
Daripada nama gunung ini saja sudah membuat ramai bertanya, mengapa ia dinamakan Gunung Senyum?
Terdapat beberapa versi lama pernah menceritakan mengenai asal usul nama gunung ini. Antara yang popular ialah gunung ini mendapat nama dari seorang sultan yang pernah bertakhta di Pahang sekitar tahun 1800 tahun dahulu.
Menurut kisahnya, ketika itu Sultan Ahmad telah membuat perjalanan menyusuri sungai Pahang untuk melawat negeri dan kawasan pemerintahannya.
Sampai di satu kawasan, baginda terpandang sebuah gunung yang tinggi dari tebing sungai. Lalu baginda bertanya kepada pengiringnya, apakah nama gunung itu.
Malangnya, tidak seorang pun dikalangan pengiring baginda tahu nama gunung itu. Mereka semua hanya mampu berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum. Melihatkan gelagat para pengiringnya itu, baginda berseloroh menamakan gunung terbabit sebagai Gunung Senyum, sempena gelagat pengiringnya yang asyik tersenyum.
Bukan sekadar nama, tetapi Gunung Senyum juga terkenal dengan pelbagai kisah mitos. Salah satunya ialah kisah Tok Long.
Diceritakan pada zaman dahulu, seorang lelaki bernama Tok Long sering datang ke kawasan gunung ini untuk menjerat burung.
Dia tidak berseorangan di kawasan gunung itu, tetapi ditemani komuniti orang bunian. Tok Long telah berkahwin dengan puteri bunian yang tinggal di situ.
Namun, sebelum bernikah, raja bunian telah mengenakan tiga syarat buat puterinya.
Pertama, puteri itu mesti mandi dalam tujuh buah kolam yang kini dikenali sebagai Gua Kolam Tujuh.
Kedua, dia dikehendaki mengeringkan diri dengan tiupan angin di dalam sebuah gua yang dikenali Gua Angin.
Manakala syarat terakhir, puteri tersebut mestilah mandi di bawah cahaya bulan yang berada di dalam Gua Terang Bulan.
Setelah memenuhi ketiga-tiga syarat tersebut, barulah mereka disatukan sebagai suami isteri.
Raja bunian yang gembira dengan pernikahan anaknya turut menghadiahkan dua buah taman kepada Tok Long.
Taman tersebut adalah Taman Laut dan Taman Darat. Sehingga hari ini, kedua- dua taman itu masih lagi wujud.
Begitu juga dengan Gua Kolam Tujuh, yang dikatakan tempat bersiram puteri bunian tersebut. Gua berkeluasan 15×30 meter ini mempunyai tujuh tingkat kolam.
Dikatakan suatu ketika dahulu apabila tiba musim tengkujuh, air di dalam kolam akan melimpah keluar melalui setiap tingkat kolam tersebut, seakan-akan jatuh dari kolam bahagian atas ke bawah. Namun kini, pemandangan itu tidak lagi dapat dilihat kerana kolam ini telah kering.
Gua Angin pula tempat puteri itu mengeringkan badan juga ada. Jika masuk ke gua ini, memang boleh merasai angin yang bertiup perlahan dengan kawasan sekitar yang nyaman.
Manakala Gua Terang Bulan tempat puteri itu ‘mandi’ cahaya bulan pula, pada waktu malam ketika bulan menyinar, cahayanya akan masuk ke dalam gua tersebut.
Selepas berkahwin dengan puteri bunian, Tok Long mendapat kelebihan apabila mampu merawat penyakit. Setelah beberapa lama tinggal di alam bunian, Tok Long merindui kampung halamannya dan meminta izin untuk pulang ke dunia nyata bagi bertemu dengan ahli keluarganya.
Puteri bunian mengenakan dua syarat. Pertama, Tok Long hanya boleh tinggal di kampungnya tak lebih dari satu bulan, dan kembali semula kepadanya. Syarat kedua, Tok Long mesti berjanji tidak akan memberitahu sesiapa pun mengenai kewujudan masyarakat bunian di kawasan Gunung Senyum. Tok Long menerima semua syarat itu dan berjanji akan mematuhinya.
Setibanya di kampung halaman, penduduk berasa hairan apabila melihat Tok Long menjadi seorang yang kaya dan mempunyai kebolehan untuk mengubati pelbagai penyakit penduduk kampung.
Mereka mendesak Tok Long supaya menceritakan perkara sebenar. Pada mulanya Tok Long masih senyap dan boleh menyimpan rahsia. Namun lama kelamaan selepas diasak dengan pelbagai pertanyaan, akhirnya Tok Long menceritakan tentang orang bunian yang mendampinginya.
Disebabkan melanggar syarat, dan kembali ke gunung itu selepas lebih dari sebulan, segalanya hilang sekelip mata.
Apabila tiba semula ke Gunung Senyum, Tok Long mendapati perkampungan bunian di situ telah hilang. Keindahan yang dinikmatinya sebelum itu bertukar kosong dan dipenuhi hutan rimba serta semak-samun.
Terkejut dengan keadaan itu, dia cuba menjejaki isterinya. Tapi malangnya tidak menjumpai si puteri bunian.
Tok Long terus mencari sehingga dia tiba di sebuah tempat yang dikenali sebagai Danau Impian. Di situ dia ternampak kelibat isterinya. Dia cuba mengikut jejak kelibat itu, namun semakin dia hampir, semakin jauh kelibat itu dan akhirnya terus menghilang.
Kerana terlalu kecewa, Tok Long dikatakan telah menggali sebuah lubang dan mengabdikan diri kepada Tuhan sambil setia menunggu isterinya hinggalah ke akhir hayatnya, dan dikebumikan di gua itu yang kini dikenali sebagai Gua Makam Tok Long.
Itu antara sebahagian kisah popular di Gunung Senyum, malah Gua Makam Tok Long antara gua yang popular dikunjungi bukan saja oleh penduduk tempatan, bahkan pelancong dari luar negara.
Gunung Senyum setinggi 1,594 kaki ini mempunyai 25 buah gua dengan pelbagai nama yang unik dan klasik. Selain nama-nama gua seperti yang disebut dalam kisah Tok Long, antara gua lain yang terdapat di sini ialah Gua Kambing, Gua Gajah, Gua Batu Merlap, Gua Kolam Tujuh, Gua Danau Impian, Dua Mayat, Gua Rangkap, Gua Sisik Ular dan Gua Nesan yang mengandungi 19 batu nesan di dalamnya.
Gua Taman Satu dikatakan adalah kawasan puteri bunian bermain. Persekitaran gua ini nampak bersih dan terpelihara, seakan-akan ada orang yang membersihkannya selalu.
Gua Kolam pula dikatakan tempat puteri bunian bersiram, manakala Gua Merlap orang-orang lama menceritakan dalam gua itu pernah menjadi tempat tinggal orang bunian dan terdapat batu tergantung yang bersinar di dalam gua tersebut.
Gunung Senyum dibuka sebagai kawasan rekreasi pada Julai 1989. Bukan sekadar kisah-kisah mitos yang mewarnai gunung ini, ia juga kaya dengan keindahan stalaktik dan stalagmit gua batu kapur.
Gua-gua di gunung ini berada di bawah jagaan Perhilitan. Kajian arkeologi menemui sejarah kehidupan manusia dari zaman Mesolitik di pergunungan ini. Puncak gunung ini dijadikan sebagai pusat origin koordinat negeri Pahang oleh JUPEM.
Jika anda sukakan alam dan aktiviti fizikal, diwarnai dengan kisah-kisah mitos yang menarik, Gunung Senyum amat sesuai untuk dikunjungi. - UTUSAN TV
|