KLUANG – Sepasang kekasih dicekup polis awal pagi hari ini selepas dipercayai terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuk mencuri duit tabung surau serta pecah masuk kedai di sekitar daerah ini.
Pasangan berusia 21 dan 22 tahun itu diberkas kira-kira pukul 1 pagi di Ladang Sungai Kluang, Jalan Padang Tambak di sini.
Difahamkan, mereka menjalankan ‘kerja’ itu sebagai modal membeli dadah serta simpanan untuk berkahwin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati tangkapan suspek lelaki mempunyai enam rekod berkaitan jenayah dan tiga rekod berkaitan dadah.
“Suspek wanita pula mempunyai dua rekod berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Bahrin, kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Mei depan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) serta 014-3656822. – KOSMO! ONLINE
|