Kuala Lumpur : Pengacara dan bekas penyampai radio popular, Halim Othman mendedahkan sudah setahun lebih tidak berjumpa anaknya juga pelakon, Myra Natasya.
Halim atau nama sebenarnya, Abdul Halim Othman, 60, berkata dia masih berusaha dan meluahkan hasrat untuk berbaik semula dengan anak perempuannya itu.
"Tidak ada 'constant contact' (kerap berhubung) tapi saya ada hantar mesej kepadanya dengan harapan kita akan berjumpa untuk memulihkan semula hubungan.
"Sudah satu tahun lebih kami tidak berjumpa. Saya berikan dia peluang. Bagi dia bertenang dan ruang untuk kami berbaik semula," katanya.
Hubungan dua beranak itu didakwa renggang selepas Myra atau nama lengkapnya Yusmyra Natasya Abdullah, 30, mengakui dirinya anak tidak sah taraf.
Malah Myra mendedahkan Halim dan ibunya iaitu Yusnita Omar tidak pernah berkahwin di Thailand seperti yang pernah diperkatakan serta mempersoalkan isu penamaan bapa dalam sijil kelahirannya.
Ditanya mengenai sambutan hari raya bersama keluarga, Halim memaklumkan sambutan Aidilfitri tahun ini baginya meriah apabila dapat pulang ke kampung halaman di Terengganu dan berjumpa seluruh keluarga.
"Saya tidak menyambut Hari Raya bersama anak tapi kami masing-masing ada mengucapkan selamat meraikan Hari Raya.
"Boleh dikatakan antara Hari Raya paling meriah. Saya pulang ke Terengganu 10 hari selepas Hari Raya," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran treler filem Keluang Man di TRX, semalam.
Mengenai pembabitan dalam filem adiwira Keluang Man arahan Anwari Ashraf itu pula, Halim berkata sukar buat dirinya melepaskan peluang terbabit dalam filem hebat itu selepas pengarah memaklumkan akan mewujudkan satu watak khas yang diilham daripada identitinya.
"Macam mana untuk saya kata tidak apabila mereka katakan watak itu tidak ada siapa boleh buat selain saya sendiri.
"Jadi rasa sangat terharu dan terkesan dengan imaginasi Anwari Ashraf untuk meletakkan kenangan Malaysia pada tahun 1998 serta sekitar 2000 itu dalam filem superhero kita ini," katanya sambil mendedahkan beberapa watak akan mengimbau kenangan mengenai radio dan gayanya mengacara dalam filem adaptasi watak animasi popular 1990-an itu.
Tambahnya, dia dikehendaki berlakon dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlu jadi watak dalam pemikiran teraju utama filem terbabit.
"Bukan mudah, ada dua watak berbeza dalam hero sebenarnya dengan salah satunya adalah saya tetapi gambar saya tiada dan hanya suara sahaja," tambahnya.
Mengulas sama ada pembabitannya itu sebagai kemunculan semula dalam dunia hiburan tanah air, Halim berkata sukar memberi penjelasan mengenai perkara itu dan menyifatkan melalui pengalaman menyeronokkan ketika bekerja dengan Anwari.
Keluang Man terbitan Astro Shaw menampilkan barisan pelakon hebat tanah air antaranya Nas Muammar Zar atau Nas-T, Datuk Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Anwaar Beg Moghal, Shweta Sekhon dan ramai lagi.
Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 29 Mei nanti. - HARIAN METRO
|