KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam di kediamannya di PPR Batu Muda, Sentul, di sini, petang tadi.
Berdasarkan maklumat penduduk, kanak-kanak berusia dalam lingkungan 12 tahun itu dilaporkan sedang bermain bersama adik-adiknya di dalam rumahnya.
Seorang penduduk memaklumkan semasa sedang bermain, mangsa dilaporkan memanjat tembok sebelum terjatuh.
"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap serta tidak sedarkan diri di bawah Blok C, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
"Berdasarkan kecederaan yang dialami, ada pendarahan pada bahagian belakang kepala," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Pemerhatian di lokasi kejadian juga mendapati tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan menerima panggilan pada jam 2.24 petang tadi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Pada masa ini kes masih dalam siasatan dan untuk peringkat awal, kita klasifikasikan kes sebagai Kematian Mengejut (SDR)," katanya. - BH ONLINE
|