Zahnita berkongsi perkara itu sejurus selesai prosiding kes rumah tangganya bersama suami iaitu Abdul Zackery Ghouse di Kompleks Mahkamah Kuantan, Pahang pada Jumaat.
Dalam pada itu, Zahnita tidak menolak kemungkinan Hanisah melemparkan tuduhan buruk itu atas faktor tidak puas hati.
Malah, dia sendiri tidak mengetahui motif sebenar wanita berkenaan cuba untuk menjatuhkan reputasinya di mata umum.
“Dia cakaplah apa-apa, saya memang takkan respon, mungkin itu faktor dia tak puas hati sebab tak boleh nak jatuhkan saya.
“Saya tak tahu apa motif dia sebenarnya, kenapa nak menjatuhkan saya?
“Saya cuba teruskan hidup tanpa ganggu sesiapa, nak hidup dengan tenang sahaja,” jelasnya.
Pada 10 April lalu, Hanisah mendakwa cerita Zahnita dianiaya suaminya sendiri iaitu Abdul Zackery Ghouse adalah tidak benar.
Sebaliknya Zackery adalah individu yang sentiasa berada di belakang Zahnita memberikan semangat.
Pada pagi Jumaat, tiga kes rumah tangga melibatkan Zackery dan Zahnita disambung ke tarikh baharu.
Tiga kes tersebut adalah permohonan cerai, perintah injunksi terhadap gangguan dan tuntutan hadanah atau hak lawatan serta hak bermalam.
Pada 3 Disember tahun lalu, Zahnita memfailkan cerai terhadap suaminya, Zackery di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang.
Kemudian, Zackery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas dua pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah.
Zahnita juga diberikan hak hadanah interim terhadap empat anaknya pada 6 Disember 2024.
Untuk rekod, Zahnita dan Zackery mendirikan rumah tangga pada 2005.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun.
Sumber: mStar