Kuala Lumpur: Drama tempatan, Bidaah yang semakin popular di Indonesia menjadi petunjuk bahawa karya tempatan mempunyai khalayak penonton yang lebih luas di luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, ini masa terbaik untuk pembikin karya drama dan filem tempatan untuk mengambil peluang dan memahami kehendak penonton antarabangsa.
"Beberapa minggu kebelakangan ini, kita lihat pelbagai parodi dan reaksi terhadap drama itu di media sosial, khususnya daripada penonton di Indonesia.
"Oleh itu, kita menasihatkan pembikin filem agar ambil peluang ini untuk memahami cita rasa penonton antarabangsa.
"Kita juga sering anjurkan program-program bagi penulis skrip dan pengarah, dengan menekankan pentingnya jati diri, rasa cinta kepada negara, serta tanggungjawab menyampaikan mesej yang baik dan membina.
"Mana-mana pengarah yang memahami peranan ini pasti akan berusaha ke arah itu," katanya.
Ditanya mengenai sentimen orang ramai yang segelintir menganggap karya Erma Fatima yang diarahkan Pali Yahya itu merendahkan agama, Azmir berkata, Bidaah adalah satu bentuk teguran dalam naratif filem.
"Mengenai sentimen orang ramai, saya sendiri pun pada awalnya tidak menonton drama itu, dan hanya mendengar komen-komen umum serta tajuk-tajuk sensasi.
"Tetapi selepas menonton drama Bidaah, saya dapati sebenarnya ia ada mesej yang ingin disampaikan.
"Ia menegur mereka yang terlalu taksub dan mempercayai sesuatu tanpa asas dan ini adalah mesej yang perlu diketengahkan dalam bentuk naratif filem.
"Bagaimanapun, kita tetap perlu akur bahawa ada batas-batas yang perlu dijaga," katanya.
Azmir turut menyentuh mengenai karya dengan tema kekeluargaan yang nampaknya berjaya menarik minat ramai penonton.
"Saya juga melihat trend sekarang menunjukkan filem-filem yang berjaya kebanyakannya bertemakan kekeluargaan.
"Contohnya, tahun lepas kita ada Babah yang mengetengahkan nilai keluarga, filem Hong Kong, The Last Dance juga berkisar mengenai keluarga, begitu juga dengan Blood Brothers: Bara Naga yang mengangkat hubungan adik-beradik.
"Saya rasa drama Bidaah turut mempunyai elemen-elemen sebegitu. Watak lakonan Fattah Amin juga sebenarnya cuba membetulkan keadaan, dan mesej itu dapat disampaikan dengan baik melalui naratif yang dibina," katanya.
Bidaah lakonan Faizal Hussein, Fattah Amin, Riena Diana dan ramai lagi mula mencuri tumpuan penonton di Indonesia dan video parodi dialog watak Walid Muhammad Mahdi Ilman yang dilakonkan Faizal mula dihasilkan di platform media sosial.
"Kita juga sering anjurkan program-program bagi penulis skrip dan pengarah, dengan menekankan pentingnya jati diri, rasa cinta kepada negara, serta tanggungjawab menyampaikan mesej yang baik dan membina.
"Mana-mana pengarah yang memahami peranan ini pasti akan berusaha ke arah itu," katanya.
Ditanya mengenai sentimen orang ramai yang segelintir menganggap karya Erma Fatima yang diarahkan Pali Yahya itu merendahkan agama, Azmir berkata, Bidaah adalah satu bentuk teguran dalam naratif filem.
"Mengenai sentimen orang ramai, saya sendiri pun pada awalnya tidak menonton drama itu, dan hanya mendengar komen-komen umum serta tajuk-tajuk sensasi. - Harian Metro
|