PIHAK Pos Malaysia Berhad membuat permohonan maaf terhadap isu tular melibatkan respons Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) terhadap aduan pekerjanya sebelum ini.
Pos Malaysia dalam satu kenyataan berkata, CEO Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer sudah memohon maaf secara terbuka dan mengakui kelemahan tindakannya yang kurang berempati.
Katanya, isu itu sudah diselesaikan bersama kepada kakitangan yang terpaksa bertugas dengan pakaian rosak.
"Kami sedang menambah baik proses dalaman kami untuk memastikan penggantian pakaian seragam dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.
"Komitmen ini dilakukan untuk memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan penuh keyakinan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, kakitangan terbabit memuat naik luahan tentang komen balas CEO Pos Malaysia selepas membuat aduan tentang pakaian seragamnya yang rosak.
Dalam hantaran tersebut juga memaparkan mesej balas mengatakan pekerja itu bernasib baik kerana tidak bekerja dengan mana-mana syarikat penghantaran asing yang langsung tidak menyediakan pakaian seragam. — Majoriti
|