KUALA LUMPUR : Pelakon, Fasha Sandha, mengakui kekhilafannya memeluk adik iparnya, suami kepada Elisya Sandha ketika berada dalam sebuah majlis baru-baru ini.
Menurut Fasha, dia mengakui keadaan itu berlaku secara spontan selain telah menganggap Uzair Haqimy bak adik sendiri
“Saya kenal Uzair sejak sekolah lagi. Jadi sudah terbiasa. Kalau nak cakap soal hukum agama, saya bukan orangnya.
“Itu kena tanya ustaz atau ustazah. Saya pun tak pernah cakap saya sudah berhijrah atau sempurna.
“Masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki dalam hidup,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, kata Fasha, dia berterima kasih kepada semua pengikut dan warganet yang memberi teguran akan kekhilafannya itu.
“Terima kasih kepada yang menegur, saya hargainya. Segala yang berlaku itu secara spontan, saya pun tak fikir sebab dah terbiasa anggap dia macam adik sendiri.
“Macam saya katakan sebelum ini, saya tahu saya ini banyak kekurangan, banyak kekhilafan yang perlu diperbaiki.
“Sama macam orang tanya saya berkenaan isu hijab, isu tutup aurat dan sebagainya. Saya selalu cakap diri ini tidak sempurna, ada banyak yang perlu diperbaiki dan ini adalah antaranya,”katanya.
Dalam pada itu, Fasha juga menekankan bahawa dia tidak pernah memberi kenyataan umum bahawa dia akan berubah drastik dalam perjalanannya ke arah lebih baik.
“Saya tak pernah cakap saya dah berubah atau seumpamanya, saya cuma kata doakan yang baik-baik.
“Kalau orang tegur saya dengan cara baik itu bermakna mereka prihatin dengan saya. Iyalah, kita sebagai manusia biasa mana boleh lari daripada melakukan kesilapan.
“Jadi orang tegur itu bermakna orang sayang. Jadi saya okey sahaja. Saya pun tak pernah kata diri bagus, bukan terbaik. Peminat faham dan mereka pun tak mudah hendak menghukum saya,”katanya.
Terdahulu, tular sebuah video yang dimuat naik di laman media sosial tiktok milik @sheilrdv2c5 yang memaparkan Elisya Sandha dan suami membuat gender reveal untuk anak keduanya.
Bagaimanapun, apa yang meraih perhatian netizen adalah apabila Fasha yang kelihatan sangat gembira kemudian memeluk adik iparnya itu.
Tindakannya itu kemudiannya menuai bahan bualan ramai di media sosial.
|