
Minos (dua kiri) mengadakan lawatan sulung ke Borneo Empurau Farm & Resort selepas dilantik Pengerusi MDS yang baharu berkuat kuasa 1 April 2025.
KUCHING: Majlis Daerah Serian (MDS) di bawah pimpinan pengerusi baharu, Dato Peter Minos akan memberi tumpuan mengangkat majlis daerah ini sebagai majlis perbandaran.
Menurut Minos, menjadikan MDS sebagai perbandaran merupakan satu daripada tiga perkara yang menjadi tumpuannya apabila dilantik sebagai pengerusi baharu berkuatkuasa 1 April lepas.
Dua lagi perkara yang menjadi tumpuan MDS di bawah pimpinannya adalah untuk membangunkan ibu Pejabat baharu MDS dan mengenalpasti tempat pelancongan/kebudayaan untuk dibangunkan di Serian.
"Dengan sokongan penuh daripada rakan-rakan ahli majlis, saya yakin kita boleh melakukannya seperti yang saya lakukan untuk Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) pada 10 tahun lalu.
"Pengalaman 10 tahun saya di Samarahan yang berkembang pesat dan pesat membangun amat berguna dan sudah tentu dengan bimbingan, bantuan daripada pihak atasan serta agensi kerajaan lain," katanya.
Tambah Minos lagi, pada usia 76 tahun selepas berkhidmat di MPKS selama 10 tahun, beliau semestinya mempunyai hasrat untuk bersara.
Namun katanya beliau tidak dapat menolak apabila ditawarkan untuk berkhidmat di MDS yang beliau anggap sebagai satu penghormatan serta satu cabaran yang baik.
"Saya benar-benar mahu bersara dan pelantikan itu benar-benar diluar jangkaan saya sehingga dimaklumkan secara lisan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
"Saya anggap pelantikan ini sebagai satu penghormatan untuk saya dan saya akan buat yang terbaik seperti yang diamanahkan,"katanya.
Minos turut berkata selepas dilantik 1 April, beliau telah diberi taklimat mengenai pelbagai projek yang sedang dibangunkan di Serian dibawah MDS.
Hasil daripada taklimat itu katanya MDS katanya akan memberi tumpuan dalam melaksanakan projek-projek ini tanpa penangguhan untuk rakyat.
|