Saya menganuti kepercayaan Robert McKee dalam bukunya STORY: Substance, Structure, Style and The Principles of Screenwriting bahawa filem yang bagus akan meninggalkan penonton dalam bungkam dan tergamam. Kita akan pulang, diam, mengambil masa untuk memproses semua perasaan dan pukulan emosi yang menerjang.
Bukan meminjam kata-kata Robert, tapi kesan itu selalunya datang daripada persembahan estetika, cerapan emosi serta persoalan adakah sesuatu naskhah itu berjaya membawa semangat baharu menjadikannya dibahaskan bertahun-tahun selepas penerbitan?
Syafiq Yusof kali ini bergandingan dengan Abhilash Chandra mengepalai taruhan baharu dalam Blood Brothers: Bara Naga. Wajar untuk saya mempunyai jangkaan yang tinggi melihat kepada rekod cemerlang kedua-dua anak seni ini menghasilkan filem paling laris Malaysia di tahun-tahun sebelumnya.
Untuk tahun ini, Blood Brothers adalah filem Malaysia terbaik yang saya tonton setakat melewati suku pertama 2025. Menceritakan tentang Ariff dan Ghaz, kanak-kanak flat yang hidup melarat kerana ada ibu ayah berperangai bangsat.
Dia membebaskan diri daripada kemiskinan dengan menjadi ahli sindiket mafia, Naga yang dikaburi dengan syarikat perkhidmatan bodyguard. Di sanalah mereka mengenal makna keluarga dan persaudaraan.
Tapi Ariff dan Ghaz sepatutnya menelan masak-masak kata Abang Sham (saya tidak tahu siapa pelakon ini, tapi kharismanya begitu terasa) bahawa nyawa mereka hanyalah permainan orang kaya.
Abhilash Chandra dan pasukan skripnya wajar diberikan pujian kerana plot dan graf cerita ini sangat kemas, dialognya mengena dan paling penting setiap perkembangan karakter dipastikan ‘mendewasa’ dan matang untuk menyokong alur cerita.
Aksi dalam Blood Brothers, berkali ganda lebih baik berbanding filem Syafiq Yusof sebelum ini tidak sekadar letupan dan bertumbuk, tetapi koreografi rumit menggunakan senjata yang sedikit sekali pelakon aksi sedia ada kita mahir menguasainya.
Ditambah pula dengan pelbagai jenis shoot yang cuma ditampilkan Syafiq dari wide, medium, close up, single-shot (tidak boleh menceritakan adegan mana satu bagi mengelak spoiler).
KITA SEDANG KE MANA?
Walaupun saya dengan mudah boleh meramal filem ini bakal box-office, namun saya berpendapat Blood Brothers belum cukup kuat menggoncang emosi dan semangat kerana gagal menghadirkan sebuah wacana dalam ceritanya. Jika kita mengukur Blood Brothers yang cuba meniru semirip mungkin filem aksi Hollywood, mungkin kita sudah berada di landasan yang betul.
Namun, jika kita mengukur bahawa sesuatu filem perlu mengeluarkan wajah sebenar, menjadi cermin kepada masyarakat, menerbitkan bibit sebuah wacana hingga membangkitkan semangat,
Blood Brothers masih tertinggal di belakang. Dari segi teknikal, sudah tentu Hollywood kiblat yang baik tetapi kita harus berani membina mesej dan semangat sendiri di dalam filem.
Saya berharap Blood Brothers akan menyinggung lebih dalam tentang kehidupan anak flat, kemiskinan atau memberi lapis-lapis falsafah. Saya khuatir, filem sebaik Blood Brothers akan menjadi sekadar bervisual cantik, laris dan popular. Tapi apabila keseronokkan itu perlahan-lahan hilang, tiada apa-apa lagi yang penting untuk dikenang. - Utusan
|